Home Pertahanan dan Keselamatan #Pertahanan: Sistem pertahanan siber negara pada tahap tertinggi, terkawal daripada serangan – Adly

#Pertahanan: Sistem pertahanan siber negara pada tahap tertinggi, terkawal daripada serangan – Adly

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 26 SEPT – Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari menegaskan, sistem pertahanan negara kini berada pada tahap tertinggi dan terkawal daripada serangan siber.

Beliau berkata, Kementerian Pertahanan melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meletakkan keseluruhan sistem komunikasi strategik ATM dalam satu rangkaian terselamat dan tidak mempunyai sambungan dengan rantaian internet luar.

“Sistem pertahanan negara sentiasa berada pada tahap keselamatan tertinggi dan dikawal selia oleh Pusat Pemantauan Pertahanan Siber, Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) ATM,

“Tiada sambungan rantaian internet luar, menjadikan serangan siber ke atas sistem pertahanan negara pada masa ini berada dalam keadaan terkawal,” katanya ketika menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-12 peringkat Kementerian Pertahanan di Dewan Negara pada Isnin.

Sebelum ini, ATM menubuhkan Unit Khas Pertahanan Siber pada tahun 2015 bagi melindungi dan mencegah sistem pertahanan negara daripada pencerobohan atau diserang.

Bagi sistem yang memerlukan sambungan internet terutamanya kepada hal-hal pentadbiran, Adly menjelaskan, BSEP ATM melaksanakan pemantauan rapi sebarang aktiviti mencurigakan.

“Selain itu, pihak BSEP juga sentiasa bersiap siaga mendepani sebarang bentuk kemungkinan serangan siber terkini,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, Adly memaklumkan, pihaknya telah mengambil beberapa langkah proaktif dalam usaha menangani serangan siber dalam bentuk pancingan data (phishing) dan serangan perisian (ransomware) termasuk menjalin kerjasama dua hala di antara negera-negara luar.

“Pihak ATM sentiasa menjalinkan kerjasama pertukaran ancaman siber melalui Malware Information Sharing Platform di antara negara-negara luar dan juga Cyber Security Malaysia,

“Kita telah mewujudkan Bahagian Siber dan Elektromagnetik pertahanan yang berfungsi di dalam mengesan, memantau dan mematahkan sebarang usaha serangan siber ke atas Critical Information Infrastructure Kementerian,

“Kita juga merancang untuk menubuhkan Pusat Pemerintahan Siber ATM bagi mewujudkan angkatan siber yang berkredibiliti, berteknologi tinggi dan berkepakaran dalam mendepani ancaman global,” jelasnya lagi. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!