Tempoh enam tahun untuk menunggu kapal ronda pesisir pertama (OPV 1) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk siap merupakan satu jangka masa yang panjang.
Mungkin telah menjadi ketentuan, APMM terpaksa melalui fasa berliku-liku sebelum menerima aset ini yang bakal menjadi kapal peronda terbesar dalam armada APMM.
Kesemuanya tiga buah OPV yang dibina berasaskan rekaan OPV Damen 1800 bakal diterima agensi tersebut.
Bagaimana pun, fokus ketika kini adalah pada OPV 1 setelah penyerahan kapal tertangguh beberapa kali.
Tentang OPV 2 dan OPV 3 pula sukar untuk diperkatakan kerana bayangan kedua-dua kapal tersebut yang masih dalam pembinaan tidak pernah dipaparkan kepada media.
Apabila kontrak untuk membina tiga buah OPV ini dibuat kerajaan pada tahun 2017, ia merupakan satu berita yang menggembirakan khususnya dalam kalangan pemerhati pertahanan dan keselamatan negara.
Ini kerana keputusan tersebut membuktikan keyakinan kerajaan terhadap kemampuan syarikat tempatan untuk membina aset sendiri, sekali gus mengurangkan pergantungan kepada firma luar negara.
Kontrak pembinaan tiga OPV ini dianugerahkan kepada syarikat tempatan, THHE Destini dengan kos RM738.9 juta dan sepatutnya siap pada 2020 tetapi lewat atas alasan pandemik Covid-19.
Kapal itu kemudiannya dijanjikan akan siap pada 2021 namun masih belum diserahkan.
Kerajaan menerusi Kementerian Kewangan (MOF) mengambil keputusan untuk mengambil alih projek OPV 1 pada Januari lalu selepas dikesan menghadapi masalah besar.
Suntikan pinjaman RM152.6 juta kemudian diberikan menjadikan kos keseluruhan kira-kira RM891.5 juta bagi memastikan kapal itu disiapkan tahun ini.
Pada tahun ini sahaja, tiga kali penangguhan berlaku iaitu sepatutnya pada Mac, kemudian Julai sebelum ditangguhkan lagi pada satu tarikh yang belum diketahui.
Jika mengikut kontrak asal yang mana OPV 1 sepatutnya diserahkan pada tahun 2020, bermakna kelewatan ini telah memasuki tahun ketiga.
Sebenarnya, bukan Malaysia sahaja yang memutuskan membina kapal peronda dalam negara untuk agensi maritim kerana perkara sama juga dilakukan jiran serantau Indonesia dan Vietnam.
Indonesia setelah berjaya dalam program pembinaan kapal korvet kelas SIGMA (yang juga merupakan rekaan daripada firma Damen) kemudian membina kapal peronda untuk Badan Keamanan Laut Republik Indonesia (BAKAMLA).
Sebuah kapal OPV bersaiz sepanjang 110 meter (m) dengan berat 2,400 tan dibina syarikat tempatan, PT Malindo Marine menggunakan reka bentuk sendiri.
Pembinaan kapal KN Tanjung Datu ini bermula pada Mac 2016 dan siap dalam tempoh 21 bulan sebelum kapal ditauliahkan pada Januari 2018.
Susulan kejayaan ini, kerajaan Indonesia bersetuju membina tiga buah OPV bersaiz sepanjang 80m yang kontraknya diberikan kepada PT Citra Shipyard, Indonesia.
Program pembinaan kapal-kapal ini bermula pada Oktober 2017 dan diserahkan kepada kerajaan Indonesia pada Ogos 2019 iaitu dua tahun kemudian.
Kapal OPV kelas Pulau Nipah ini masing-masing ialah KN Pulau Nipah, KN Pulau Marore dan KN Pulau Dana.
Ini bermakna dalam tempoh tiga tahun, BAKAMLA Indonesia menerima empat buah kapal peronda baharu yang dibina oleh dua limbungan perkapalan tempatan.
Begitu juga negara jiran Vietnam apabila memilih OPV Damen DN2000 yang dibina secara kerjasama antara firma Damen dengan limbungan tempatan, Song Thu Group di Sandang, Vietnam pada tahun 2014.
DN2000 seberat 2,400 tan adalah lebih besar berbanding OPV 1 APMM.
Kapal pertama dilancarkan pada November 2015 iaitu dua tahun lebih awal berbanding OPV 1 APMM.
Kedua-dua kapal siap dibina mengikut jadual dan telah pun beroperasi membelah laut Vietnam bagi mengawasi wilayah maritim negara jiran itu.
Melihatkan kejayaan limbungan perkapalan tempatan Indonesia dan Vietnam membina kapal peronda untuk agensi maritim masing-masing, sudah pasti timbul 1001 persoalan.
Sekiranya limbungan di sana yang dikendalikan anak-anak tempatan mampu membuktikan keupayaan mereka, tetapi mengapa tidak di Malaysia?
Sepertimana diketahui umum, projek OPV 1 telah diambil alih oleh kerajaan menerusi Kementerian Kewangan (MOF) daripada TH Heavy Engineering (THHE) pada Januari selepas ia dikesan menghadapi masalah besar.
MOF terpaksa menyuntik pinjaman RM152.6 juta menjadikan kos keseluruhan kira-kira RM891.5 juta bagi memastikan kapal itu disiapkan tahun ini.
KDN pula sebagai kementerian yang menaungi APMM iaitu pasukan keselamatan yang bakal mengoperasikan kapal tersebut sudah pasti menantikan aset ini.
THHE pada 13 September lepas dilaporkan sedang melakukan penggulungan secara sukarela setelah setahun dinyahsenarai daripada Bursa Saham Malaysia.
Syarikat itu memutuskan untuk melaksanakan penggulungan secara sukarela kerana ia tidak dapat meneruskan operasinya kerana liabiliti.
Difahamkan proses pembinaan OPV 1 APMM ketika ini hampir lengkap apabila meriam utamanya, 30mm Smash Aselsan buatan Turkiye telah dipasang.
Bagaimana pun, tiada sebarang maklumat rasmi berhubung status fasa pembinaan OPV 1
Ada maklumat tidak rasmi yang membayangkan OPV 1 akan diserahkan pada bulan November depan iaitu setelah selesai segala proses pengujian.
Cuma, berdasarkan kelewatan-kelewatan sebelum ini maka sukar untuk menerima tarikh baharu penyerahan OPV 1 kerana kemungkinan penangguhan boleh berlaku lagi. – airtimes.my