PORT DICKSON, 24 SEPT – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan konflik di Ukraine menjadi rujukan oleh negara bagi melihat mengkaji dan melihat postur pertahanan tanah air.
Beliau menambah, ia dilakukan bagi melihat sejauh mana tahap keupayaan pertahanan negara dalam menghadapi sebarang kemungkinan di masa hadapan.
“Kita sentiasa melihat kita punya falsafah. Doktrin pertahanan kita sentiasa kita kaji
“Sekarang kita sedang mengkaji, make a review, untuk kita melihat sejauh mana dan bagaimana,
“Kalau dulu kita tidak ada non traditional threat (tetapi) sekarang kita dah ada,
“Kita lihat peperangan di antara Rusia di ukraine banyak menggunakan teknologi. Jadi kita di mana (kedudukan) kita?
“Jadi, kita buat kajian dan sentiasa melihat keupayaan kita,” katanya semasa sidang media di Pusat Latihan Asas Tentera Darat, Port Dickson, semalam.
Pada April lalu, Menteri Pertahanan menyatakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang berada dalam proses pembangunan keupayaan (capacity building) bagi mempertahankan kedaulatan negara.
Mengulas perkara tersebut, Tok Mat menegaskan kerajaan telah mengambil langkah yang cepat bagi mengatasi isu keusangan aset yang membelenggu ATM.
“Capacity building ini adalah satu usaha yang berterusan dan sentiasa kita lakukan,
“Tetapi kita buat knee jerk (cepat) sikit pada kali ini untuk menggantikan aset-aset yang telah berusia,
“Kerajaan, alhamdulillah telah meluluskan pembelian FLIT/LCA FA-50 Block 20 sebanyak 18 biji untuk memenuhi keperluan satu skuadron,” ujar beliau.
Menteri Pertahanan menambah, perolehan lain yang sedang berjalan adalah perolehan pesawat tanpa pemandu (UAS) ANKA dari Turkiye dan juga 3 buah kapal Littoral Mission Ship Batch 2.
“Kita akan menandatangani perjanjian untuk membeli 3 buah LMS untuk kita jadikan sebagai kekuatan negara dalam menjaga perairan negara,” katanya.
Menteri Pertahanan turut mengesahkan pelan perolehan kenderaan pengangkut berperisai (APC) yang baharu.
Beliau menambah, ini merupakan usaha yang berterusan oleh pihak kerajaan bagi memastikan anggota ATM dapat didukung oleh aset-aset berkemampuan.
“Ini dilakukan bagi membentuk ATM sebagai satu pasukan tentera yang terbaik dan terkini,” katanya. – airtimes.my