Home Pertahanan dan Keselamatan #Keselamatan: Rondaan terkoordinasi Malaysia-Indonesia kekang aktiviti jenayah rentas sempadan

#Keselamatan: Rondaan terkoordinasi Malaysia-Indonesia kekang aktiviti jenayah rentas sempadan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 21 SEPT – Operasi Patrol Terkoordinasi Operasi Tindakan Maritim (PATKOR OPTIMA) siri 30B antara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bersama Badan Keamanan Laut Republik Indonesia (BAKAMLA RI) menutup tirainya hari ini.

Majlis Penutup bagi PATKOR OPTIMA MALINDO 2023 telah dilaksanakan secara bersama oleh Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Pengawasan Maritim (BPPM), Laksamana Muda Maritim Aminuddin Abdul Rashid, selaku Ketua TPOM Malaysia dan Ketua TPOM Indonesia, Laksamana Pertama BAKAMLA Friche Flack , M.Tr.Opsla.

Menurut Aminuddin, antara hasil terbesar Patkor Optima Malindo yang diperolehi pada tahun ini adalah persefahaman yang diterjemahkan menerusi bantuan operasi kejar buru dan penahan MT ARMAN 114 di perairan perbatasan Malaysia – Indonesia pada Julai 2023 lalu.

Beliau berkata, menerusi operasi ini , Malaysia telah merekodkan sebanyak 1,618 pemeriksaan dan 85 tangkapan dilakukan melibatkan pelbagai kesalahan.

Manakala Indonesia pula merekodkan sebanyak 176 pemeriksaan di laut.

“Secara tidak langsung, rondaan terkoordinasi yang dilaksanakan oleh semua unsur operasi yang terlibat berjaya mengekang daripada berlakunya ancaman kegiatan jenayah terutamanya jenayah rentas sempadan,

“Keberhasilan operasi ini jelas mendatangkan impak positif kepada kedua-dua negara,” jelasnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Patkor Optima Malindo yang merupakan program tahunan antara kedua-dua negara telah menfokuskan keselamatan di perairan Selat Melaka.

“Antara objektifnya ialah menguatkuasakan undang-undang maritim dengan berkesan dan meningkatkan kerjasama di antara agensi keselamatan melalui operasi bersepadu yang dilaksanakan,

“Menjalinkan perhubungan dan permuafakatan di antara semua agensi keselamatan selain memberi keyakinan kepada komuniti maritim bahawa perairan Selat Melaka sentiasa selamat dan aman,” jelasnya.

Tambahnya, operasi bersepadu yang dilaksanakan turut memberi kesedaran kepada komuniti maritim di kedua-dua negara bahawa pentingnya menghormati undang-undang ketika berada di laut. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply