PORT-AU-PRINCE, 20 SEPT – Ketua gengster yang paling berkuasa di Haiti menyeru kepada rakyat dinegara itu untuk melancarkan rampasan kuasa bersenjata terhadap Perdana Menteri mereka.
Kumpulan itu juga mengajak rakyat Haiti untuk turun ke jalanan bagi menentang kerajaan pimpinan Ariel Henry yang didakwa tidak dipilih secara sah.
Situasi itu merupakan perkembangan terbaharu di negara Caribbean yang pada ketika ini berhadapan dengan krisis kemanusian.
Menurut laporan Reuters, Jimmy “Barbecue” Cherizier, bekas pegawai polis yang kini menjadi ketua gabungan geng yang berpengaruh mengeluarkan seruan tersebut.
Kumpulan yang dipimpin olehnya telah mengawal sebahagian besar kawasan ibu kota Haiti, Port-au-Prince.
“Kami memulakan perjuangan untuk menjatuhkan kerajaan Ariel Henry dengan cara apa jua sekali pun,
“Perjuangan kami akan melibatkan senjata,” kata Cherizier yang dipetik oleh Reuters.
Beliau menambah bahawa “demonstrasi di semua kawasan masyarakat pekerja” akan berlaku setiap hari bagi menentang kerajaan Henry, yang didakwa tidak sah.
Kumpulan gengster Haiti mula berkuasa selepas pembunuhan Presiden Jovenel Moise pada tahun 2021.
Pembunuhan itu telah menyebabkan situasi politik Haiti mengalami kelompongan kuasa (power vacuum). Perdana Menteri Ariel Henry pula dilantik untuk mentadbir secara interim sejak kematian preisden mereka
Henry telah berjanji untuk mengadakan pilihan raya setelah keselamatan dipulihkan, dan telah meminta bantuan antarabangsa dalam memerangi gengster di negara itu.
Pun begitu, kumpulan gengster dilihat mula berkuasa dan seringkali bertempur dengan pasukan polis Haiti. Selain daripada itu, mereka mendapat keuntungan dari pelbagai aktiviti jenayah termasuk pengedaran dadah.
“Komuniti antarabangsa tidak boleh terus berbuat demikian di Haiti,
“Jika komuniti antarabangsa tidak ada kaitan dengan kematian (Moise), mereka tidak boleh menyokong Ariel Henry,” kata Cherizier.
Ancaman daripada Cherizier timbul semasa wakil kerajaan Kenya tiba untuk menilai dan memimpin pasukan serantau yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Haiti. Ini bagi membantu polis negara itu yang menghadapi kekurangan senjata dalam usaha untuk menentang geng-geng tersebut.
Menurut PBB, lebih daripada 19,000 orang telah melarikan diri dari ibu kota Port-au-Prince semenjak keganasan bersenjata tercetus. – airtimes.my