SEVILLE, 19 SEPT – India dijangka akan memulakan pengeluaran pesawat pengangkut Airbus C295 di negara itu mulai tahun 2026.
Pengeluaran pesawat itu adalah selari dengan matlamat New Delhi yang mahukan kemajuan industri pertahanan mereka di bawah slogan “Make in India”.
Airbus Defence and Space dalam satu kenyataan berkata, 40 pesawat C295 akan dikilang dan dipasang dengan kerjasama syarikat India, Tata Advanced Systems Limited.
Menurutnya, pemasangan akhir akan dilakukan di sebuah fasiliti di Vadodvara, barat India.
“Pengeluaran komponen untuk pesawat ini telah pun bermula di Hyderabad,
“Komponen tersebut akan dihantar ke Vadodara,” kata kenyataan itu yang menjelaskan fasiliti tersebut bakal beroperasi pada tahun 2024.
Airbus menjangka C295 pertama yang dihasilkan di India akan lengkap pada September 2026.
“Pesawat pertama ini dijangka akan menjadi pencapaian industri aeroangkasa India,
“Pesawat C295 yang terakhir dijangka akan diserahkan kepada Tentera Udara India (Indian Air Force, IAF) pada tahun 2031.
Terdahulu, India telah menerima pesawat pengangkut C295 pertamanya dari Airbus pada 13 September lalu.
Perolehan 56 buah pesawat tersebut dibuat oleh New Delhi pada tahun 2021 bagi menggantikan peranan Avros-748.
16 pesawat C295 yang pertama akan dipasang di Seville, Sepanyol. Pesawat kedua akan diterima oleh India pada Mei 2024.
“Baki 14 buah lagi akan diterima oleh India dengan kadar sebuah pesawat sebulan sehingga Ogos 2025,” jelas kenyataan itu.
Jean-Brice Dumont, Ketua Military Air Systems di Airbus menyatakan penyerahan pertama pesawat tersebut adalah hasil daripada kontrak yang dimeterai oleh New Delhi dengan syarikat itu pada 2 tahun lalu.
“Ia merupakan pembelian terbesar dalam sejarah pengeluaran C295,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Airbus.
Majlis penyerahan pesawat pertama kepada India di Seville telah dihadiri oleh Duta India ke Sepanyol, Dinesh K. Patnaik dan Panglima IAF, Air Chief Marshal Vivek Ram Chaudhari. – airtimes.my