Home Semasa #Semasa: Malaysia dan Turkiye adalah dua negara bersaudara semenjak 500 tahun

#Semasa: Malaysia dan Turkiye adalah dua negara bersaudara semenjak 500 tahun

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 19 SEPT – Malaysia dan Turkiye merupakan dua negara yang bersaudara dan mempunyai hubungan yang telah lama terjalin.

Menteri Pertahanan Nasional Turkiye, Yaşar Güler menegaskan, kedua-dua negara telah mempunyai tali persaudaraan walaupun berada di sudut dunia yang berjauhan.

“Hubungan yang telah bertahan dari dulu hingga sekarang, telah membuka jalan kepada kerjasama pelbagai aspek dan hubungan cemerlang antara negara,

“Ini akan membentuk masa depan kita bersama,

“Malah, hubungan dan kerjasama dua hala kami telah berkembang dengan momentum yang semakin meningkat dalam hampir setiap bidang sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikongsikan oleh Kementeri Pertahanan Nasional Turkiye

Menteri Pertahanan Nasional Turkiye, Yaşar Güler hadir ke Majlis Sambutan Hari Malaysia ke-66 anjuran Kedutaan Malaysia di Turkiye. Foto: Kementerian Pertahanan Nasional Turkiye

Kenyataan tersebut merupakan ucapan yang disampaikan Yaşar ketika menghadiri majlis resepsi Sambutan Hari Malaysia ke-66 di Turkiye.

Menurut beliau, Malaysia merupakan salah satu rakan strategik terbesar negara itu di rantau Asia Tenggara.

Tambahnya, kerjasama ketenteraan dan industri pertahanan diantara Malaysia-Turkiye kian berkembang dari tahun ke tahun.

“Projek bersama yang telah dijalankan oleh kedua-dua pihak semenjak akhir-akhir ini adalah berasaskan manfaat bersama,

“Aktiviti diantara syarikat pertahanan antara Turkiye dan Malaysia telah menyumbang kepada pembangunan hubungan kedua-dua negara,

“Selain itu, aktiviti latihan bersama, latihan serta inisiatif bersama antara tentera Turkiye dan Malaysia akan diteruskan,” katanya.

Kehadiran pasukan SMART merupakan antara bantuan awal yang diberikan oleh Malaysia kepada Turkiye. Foto: Media SMART

Beliau menambah, hubungan rapat antara Putrajaya dan Ankara dapat dilihat dalam usaha kedua-dua negara ketika bencana.

“Turkiye bersama saudaranya, Malaysia selepas bencana gempa bumi dan tsunami pada 2004,

“Malaysia pula menghulurkan bantuan ketika saat pertama bencana gempa bumi yang melanda (di Turkiye) pada 6 Februari lalu.,” ujar beliau.

Malaysia sebelum ini telah menghantar pasukan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke Gaziantep. Pasukan yang tersebut telah diaturgerak bagi melaksanakan misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di kawasan itu.

OP Stalight II menyaksikan pengoperasian Hospital Medan Malaysia di Calikhan. Foto: Markas Angkatan Bersama

Penglibatan SMART dalam misi SAR gempa bumi pada awal Februari 2023 lalu merupakan kali kedua selepas bencana alam yang sama melanda Izmit pada tahun 1999.

Pasukan SAR itu juga turut dianggotai pegawai perubatan Kor Kesihatan Diraja (KKD) dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Selain itu, ATM telah melancarkan OP Starlight II bagi mengoperasikan Hospital Medan Malaysia di Celikhan. Operasi ini melibatkan 106 pegawai dan anggota bagi memberikan bantuan perubatan kepada mangsa gempa.

Aturgerak OP Starlight II turut melibatkan penerbangan 2 buah pesawat A400M yang dioperasikan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)

Mengimbau bantuan yang dihulurkan oleh Malaysia, Yaşar merakamkan penghargaan kepada anggota penyelamat, petugas perubatan, rakyat dan kerajaan Malaysia.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim tiba di Gaziantep melihat kawasan bencana yang terjejas serta berjumpa pasukan SMART yang terlibat bagi operasi carilamat mangsa gempa bumi di Turki, 15 Februari 2023. Foto: Pejabat Perdana Menteri

Pada masa yang sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengadakan lawatan ke zon bencana.

“Kepercayaan dan sokongan di antara satu sama lain memberikan inspirasi kepada kita untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala di masa hadapan,

“Saya dengan ikhlas percaya bahawa persahabatan serta persaudaraan di antara Turkiye dan Malaysia akan terus meningkat di masa hadapan,” kata Menteri Pertahanan Nasional Turkiye.

Yaşar menambah, Malaysia dan Turkiye akan menyambut ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik dan 10 tahun kerjasama strategik antara kedua-dua negara.

“Matlamat kami adalah untuk mempertingkatkan persahabatan dan kerjasama di antara kedua-dua negara ke tahap yang lebih baik,” katanya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!