Home Pertahanan dan Keselamatan #Pertahanan: Teruskan pembinaan LCS atau tamatkan kontrak – Tok Mat

#Pertahanan: Teruskan pembinaan LCS atau tamatkan kontrak – Tok Mat

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=oxdEpVNZQIc[/embedyt]

 

KUALA LUMPUR, 19 SEPT – Kerajaan berhak menamatkan proses pembinaan Kapal Tempur Pesisir (Littoral Combat Ships, LCS) sekiranya ia tidak berjalan mengikut jangka masa yang telah dipersetujui.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan bagaimanapun menegaskan, pihaknya akan memastikan projek ini disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan berdasarkan kontrak tambahan yang ditandatangani pada 26 Mei 2023.

“Saya tidak dapat memberikan jaminan sama ada akan ada perjanjian tambahan pada masa hadapan,

“Tetapi Kementerian Pertahanan akan terus memantau proses projek ini mengikut jangka masa yang telah ditetapkan,

“Kita ada hak untuk menamatkan projek ini. Kalau projek ini tidak dibuat dalam jangka masa yang dipersetujui dalam perjanjian tambahan yang keenam itu,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab celahan dari Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz yang menyatakan apakah jaminan kerajaan berkaitan perjanjian tambahan bagi pembinaan LCS tersebut.

Bagaimanapun, Mohamad menjelaskan, proses ini tidak terlepas daripada cabaran. Terdapat beberapa isu yang masih perlu diselesaikan dengan vendor dan pihak-pihak yang terlibat, terutamanya berkaitan dengan hak milik reka bentuk kapal.

Walaupun begitu, semua perbincangan dan perundingan telah dijalankan serta kesepakatan telah dicapai.

“Semua halangan telah diatasi, persefahaman dengan vendor dan pemilik hak reka bentuk kapal, termasuk Naval Group, sudah mencapai tahap yang memuaskan,

“Tidak ada lagi halangan yang menghalang pembinaan LCS ini daripada diteruskan,

“Sehubungan itu, pembinaan LCS dijangka akan bermula pada minggu terakhir bulan ini,” ujarnya lagi.

Mohamad sebelum ini dilapor berkata, kerajaan akan meneruskan projek pembinaan LCS sebagai sebahagian daripada pengukuhan pertahanan negara dan tentera laut dengan usaha itu turut membabitkan Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bagi merealisasikan penyiapan aset ketenteraan berkenaan.

Sebelum itu, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menyatakan, kerajaan membayar RM6.083 bilion untuk 5 buah LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus itu, namun tiada satu kapal diterima setakat ini.

Laporan dikeluarkan pada 4 Ogos 2022 itu turut menyenaraikan 9 rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan 6 LCS bagi kegunaan TLDM bernilai RM9 bilion.

Pada 2 Oktober 2022 pula, bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dilaporkan berkat, pembinaan LCS akan disambung semula selepas semua rundingan dan setiap perjanjian dalam fasa mobilisasi dimuktamadkan pada penghujung Disember 2022. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply