Home Semasa #Semasa: Usaha kolektif ASEAN dan China perlu fokus keamanan, kestabilan serantau – Anwar

#Semasa: Usaha kolektif ASEAN dan China perlu fokus keamanan, kestabilan serantau – Anwar

by Bernama

NANNING, 17 SEPT – Usaha kolektif ASEAN dan China mesti memberi tumpuan kepada keamanan serantau, kestabilan, kemakmuran, dan memupuk hubungan perdagangan dua hala dan pelbagai hala, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ini perlu dalam menghadapi cabaran pasca wabak, ketegangan geopolitik, dan pelbagai faktor ketidakstabilan lain,” kata Anwar, yang juga Menteri Kewangan.

Beliau berkata, ASEAN akan kekal sebagai salah satu wilayah yang paling pesat berkembang pada 2023, dan adalah penting bagi ASEAN dan China untuk mempelbagaikan strategi perdagangan dan pelaburan mereka semasa dunia semakin maju.

“Walaupun menghadapi cabaran ekonomi global, ASEAN kekal sebagai destinasi menarik bagi pelaburan antarabangsa, mencatat pertumbuhan ekonomi 5.5 peratus pada 2022, dengan 4.6 peratus (pertumbuhan) diunjurkan untuk 2023.

“Trajektori ini meletakkan ASEAN jauh di atas purata global, sebagaimana yang diunjurkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada 3.5 peratus untuk 2022, dan tiga peratus bagi 2023 dan 2024,” katanya dalam ucapan perasmiannya Ekspo China-ASEAN ke-20 (CAEXPO) 2023 dan Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan China-ASEAN (CABIS) di sini hari ini.

Di awal ucapannya Perdana Menteri sempat menyampaikan ucap selamat kepada para hadirin dengan menggunakan bahasa Cina dengan kata-kata berbunyi ‘ge wei lai bin da jia hao’.

Anwar turut menggesa ASEAN dan China mempergiatkan kerjasama dalam ekonomi digital bagi memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) untuk berkembang maju dalam era digital ini.

Beliau berkata, PKS menyumbang 85 peratus kepada peluang pekerjaan, 44.8 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan 18 peratus kepada eksport negara dalam negara-negara ASEAN.

“Oleh itu, peranan mereka dalam menyumbang kepada aktiviti nilai tambah, inovasi dan pertumbuhan inklusif tidak boleh diperkecilkan,” katanya.

Merujuk kepada Rangka Kerja Pemulihan Ekonomi ASEAN, beliau berkata, rangka kerja itu menggariskan kepentingan ketersambungan rantaian bekalan tanpa gangguan, di samping memudahkan penyaluran barangan serta perkhidmatan penting dengan menghapuskan halangan perdagangan.

“Dengan infrastruktur yang mantap, saya yakin aktiviti perdagangan yang berterusan akan menjadi lancar, sekali gus menyumbang kepada pemulihan ekonomi serantau,” katanya.
Mengenai inisiatif Jalur dan Laluan China (BRI), Anwar berkata Malaysia sebagai penyokong awal, membayangkan inisiatif ini boleh menjadi pintu masuk kepada suatu ketersambungan baharu, dan peluang pertumbuhan merentasi Asia Tenggara, Asia Pasifik, Afrika, serta Eropah Tengah dan Timur.

Dengan merujuk kepada Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) dan China-Malaysia Qinzhou Industrial Park (CMQIP) yang dibangunkan di bawah konsep “Dua Negara, Taman Berkembar”, Perdana Menteri berkata taman-taman itu adalah contoh projek-projek BRI yang boleh dibangunkan.

“Kami amat menghargai sokongan tidak berbelah bahagi China, terutamanya dalam memastikan pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada kemakmuran bersama,” katanya.

Mengenai Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), beliau berkata ia adalah bukti komitmen ASEAN dan China terhadap integrasi ekonomi, memastikan daya tahan rantaian bekalan dan keterbukaan pasaran dalam menghadapi cabaran global. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!