[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=TdyyU2MZaP8[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 14 SEPT – Aplikasi khas berasaskan teknologi angkasa, Sistem Maklumat Bencana (MyIDEA) dibangunkan sebagai satu platform bagi agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana dapat melaksanakan misi menyelamat dengan pantas dan lebih sistematik.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, sistem MyIDEA menggunakan teknologi satelit ini membolehkan misi penyelamatan dilakukan dengan lebih cepat dan teratur.
“Saya yakin MyIDEA ini sangat membantu dalam pengurusan bencana sebab aplikasi ini bukan dibangunkan dalam lab (makmal) atau pejabat sahaja tetapi melalui pengalaman dari pegawai MYSA ketika berhadapan bencana banjir,
“Pada saya ia sangat-sangat membantu agensi yang terlibat. Selepas dari pelancaran hari ini, saya harap pasukan penyelamat yang terlibat akan menggunakan aplikasi ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan MyIDEA, hari ini.
Menerusi aplikasi itu, mangsa yang terperangkap akibat banjir di lokasi tertentu dapat dikesan dengan lebih pantas dan tepat, memandangkan semasa kejadian banjir lokasi atau kedudukan tepat mana-mana tempat sekalipun amat sukar untuk dikenal pasti menerusi pemerhatian semata-mata.
“Dengan aplikasi ini, kita boleh tahu lokasi tepat mangsa, selain boleh kesan situasi secara tepat masa,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Aplikasi Perisikan Pertahanan, MYSA, Brigedier Jeneral Datuk Abdul Razak Sipit berkata, sistem ini berupaya membantu melancarkan pengurusan agensi yang terlibat dalam aturgerak agensi tersebut.
Ia termasuklah agensi yang terlibat dalam pengurusan mangsa-mangsa banjir di negara ini.
Jelasnya, sehingga kini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah memberikan maklum balas yang positif untuk menggunapakai sistem ini dalam pengoperasian mereka.
“Aplikasi ini sudah pastinya boleh digunakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MNK); Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),
“Selain itu, ia juga boleh diaplikasikan dalam sistem pengurusan pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM); Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK); Jabatan PERHILITAN dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),”ujarnya lagi.
Video berkaitan: #Pertahanan: MYSA bangunkan sistem MyDI, bantu pasukan penyelamat urus bencana banjir
MyIDEA yang dibangunkan oleh MYSA ini berupaya membantu bilik gerakan di kawasan bencana untuk mengenal pasti situasi dan lokasi sebenar mangsa di samping mampu memantau secara masa sebenar (real-time) setiap pergerakan para petugas penyelamat supaya aspek keselamatan mereka juga turut dapat diberikan perhatian.-airtimes.my