Home Semasa #Semasa: Pemimpin politik perlu henti keluar fatwa – Sultan Selangor

#Semasa: Pemimpin politik perlu henti keluar fatwa – Sultan Selangor

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 13 SEPT – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, mahu semua pihak terutama pemimpin politik di negara ini supaya segera menghentikan perbuatan mengeluarkan fatwa secara tidak bertanggung-jawab demi memelihara perpaduan rakyat.

Baginda yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam (MKI) bertitah, tindakan berkenaan seandainya dibenarkan berterusan boleh membuahkan kebencian yang mendalam sehingga mencetuskan perang saudara yang berlarutan.

“Beta tidak sanggup melihat rakyat berpecah-belah oleh tindak-tanduk sesetengah pemimpin politik yang tidak bertanggungjawab ini,

“Beta menyeru janganlah agama diperalat bagi meraih sokongan kerana rakyat akan menjadi mangsa kepada perbalahan orang-orang politik yang menunggang agama demi kepentingan diri,” titah baginda dalam satu kenyataan, malam tadi.

Sultan Sharafuddin juga menyeru pihak polis agar mengambil tindakan yang pro aktif di dalam menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mereka yang membangkitkan isu-isu sensitif yang melibatkan agama, kaum dan kedudukan Raja-Raja Melayu.

Ini, supaya menjadi satu pengajaran dan ketakutan kepada mereka yang berhasrat melakukan perkara yang sama di masa hadapan.

Di negara ini, titah baginda, fatwa hanya boleh dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Negeri atau mufti setelah mendapat perkenan Raja atau Sultan setiap negeri yang mengeluarkan fatwa itu.

“Ini adalah bagi memastikan fatwa yang dikeluarkan adalah tepat dan membawa kebaikan kepada umat Islam dan seluruh rakyat,

“Sebaliknya sekiranya fatwa dibenarkan untuk dikeluarkan oleh orang-orang politik dan pemimpin-pemimpin politik ianya akan pasti mencetuskan perbalahan, perpecahan, keganasan di dalam masyarakat yang akhirnya meranapkan tamadun sesuatu bangsa,” titah baginda lagi.

Titah baginda lagi, pemimpin politik khususnya yang veteran dan berpengalaman perlu mengelak daripada memecah-belahkan rakyat di negara ini.

“Ambil pendekatan menanam dan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan semua kaum yang berlainan agama demi menjamin kesejahteraan negara,” katanya.

Sultan Selangor turut mengingatkan pemimpin politik memegang perpaduan sebagai teras kejayaan negara dalam usaha memperoleh kuasa dan kedudukan.

“Rakyat yang terpengaruh dengan hasutan sesetengah pemimpin yang mempromosikan politik perkauman dan keagamaan berpotensi mencetuskan curiga, perbalahan, perselisihan dan perpecahan,” titah Baginda lagi. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!