Home Pertahanan dan Keselamatan #Keselamatan: Pasukan Gerakan Udara PDRM cipta sejarah lahirkan empat juruterbang wanita

#Keselamatan: Pasukan Gerakan Udara PDRM cipta sejarah lahirkan empat juruterbang wanita

by Zaki Salleh

IPOH, 12 SEPT – Sambutan Hari Ulangtahun Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang ke-44 mencatat sejarah tersendiri apabila menyaksikan empat juruterbang helikopter wanita disematkan dengan lencana sayap penerbangan.

Penyertaan empat juruterbang wanita ini sekali gus memantapkan peranan golongan tersebut dalam tugas kepolisan udara.

Empat juruterbang baharu berpangkat Inspektor (Insp) ini antara 12 pelatih yang menerima sayap penerbangan masing-masing pada Hari Ulangtahun Pasukan Gerakan  Udara Ke-44 di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) Polis Diraja Malaysia di Ipoh.

Mereka ialah Insp Wan Aulia Hami Fariheen Wan Azulkefeli, 31; Insp Yeoh Yee Chee, 31; Insp Siti Nabila Abdullah, 33, dan Ins Nur Hidayah Mohd. Aisa, 33.

Kesemua mereka sebelum ini mengikuti kursus Private Pilot’s Licence (PPL) No 19, Siri 01/2021 yang diadakan di PLPGU Ipoh.

Tambah membanggakan apabila Insp Nur Hidayah juga diumumkan sebagai Pelatih Terbaik Penerbangan.

Lencana sayap penerbangan tersebut disematkan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay  yang hadir merasmikan majlis tersebut.

Selain juruterbang, turut menerima lencana ialah 12 orang pelatih yang berjaya menamatkan kursus pemerhati udara.

Komander PGU, Datuk Noor Sham Md. Jani berkata, empat pegawai polis wanita tersebut akan bertugas bersama lain-lain pegawai dan kru selepas ini.

Menurut beliau, kali terakhir pengambilan juruterbang dalam kalangan pegawai polis wanita adalah pada tahun 2004, bagaimana pun PGU pada masa itu yang membuat pemilihan awal dua calon wanita tetapi berhadapan dengan beberapa kekangan termasuk limitasi.

Empat juruterbang wanita baharu berpangkat Inspektor merupakan antara 12 pelatih yang menerima sayap penerbangan masing-masing pada Hari Ulangtahun Pasukan Gerakan  Udara Ke-44. FOTO: PDRM

“Sekarang ini ketika telah membuat pendekatan dengan memberitahu kepada calon-calon (juruterbang wanita) apa peraturan-peraturan sedia ada sebelum menjadi juruterbang.

“Empat juruterbang wanita yang berjaya menamatkan latihan ini telah dipilih daripada seramai 36 pemohon.

“Mereka ini kumpulan pertama untuk juruterbang kapal terbang, insya-Allah bulan depan ada enam lagi juruterbang wanita untuk helikopter.

“Pertama kali dalam sejarah, PLPGU melatih enam juruterbang berpangkat Inspektor wanita yang mana ini merupakan satu perkembangan terbaik untuk generasi akan datang,” katanya.

Justeru katanya, PGU khususnya PDRM sangat menggalakkan pegawai polis wanita yang berkebolehan dan berkelayakan untuk menyertai pasukan itu bagi memantapkan lagi keberkesanan operasi.

Mengimbas kembali, sebelum ini penyertaan calon wanita sebagai juruterbang PDRM telah dumumkan oleh mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dua tahun lalu semasa  menyampaikan sayap penerbangan pada pelatih Siri 01/2019 di PLPGU Ipoh.

Katanya, pengambilan pelatih juruterbang dalam kalangan pegawai wanita mulai tahun itu yang mana mereka akan menjadi pegawai wanita kumpulan pertama sejak PGU ditubuhkan pada 1979.

PGU merupakan unit khusus dalam PDRM  yang berperanan besar dalam tugas-tugasnya menjaga keselamatan negara dengan melalui pengawasan dan rondaan dari udara serta membantu agensi keselamatan negara yang lain.

Dahulunya dikenali sebagai Unit Udara Polis (UUP), ia dijenamakan sebagi PGU pada 1 Mac 2012 yang turut membabitkan pertukaran nama Pangkalan Latihan Unit Udara Polis kepada Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara Polis.

PLPGU pula yang terletak berdekatan dengan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah dan Akademi Tentera Udara Ipoh yang dahlunya adalah sebahagian daripada penempatan lama milik polis sejak tahun 50an.

Kawasan ini telah dibangunkan sebagai komplek baharu PLPGU pada 1 Mac 2011 yang telah dirasmikan oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah.

Lokasi ini dipilih kerana kawasannya tidak terdedah kepada musim tengkujuh dan keadaan angin serta cuaca sepanjang tahun dan tidak menjejaskan program penerbangan latihan asas.

Malah, trafik udara Ipoh tidak terlalu sibuk dan memudahkan program latihan dijalankan tanpa mengganggu atau diganggu oleh pesawat komersial.

Dengan kekuatan kira-kira 600 pegawai dan anggota diketuai Komander berpangkat Deputi Komisioner Polis, PGU hari ini bukan lagi sebuah unit kecil sebaliknya memainkan peranan penting dalam PDRM. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!