SEOUL, 8 Sept – Korea Utara melancarkan kapal selam serangan nuklear taktikal yang mampu melakukan serangan dalam air, pada Rabu lalu.
Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un yang menghadiri majlis pelancarannya pada Rabu lalu berkata, langkah melengkapi pasukan tentera laut dengan senjata nuklear adalah sangat penting dan mendesak, lapor agensi berita rasmi Korean Central News Agency (KCNA), pada Jumaat.
“Kapal selam yang diberi nama Hero Kim Kun Ok, kapal selam serangan nuklear taktikal No.841 – yang pertama seumpama akan melaksanakan misi tempurnya bagi memperkukuh pasukan tentera laut,” jelasnya.
Jong Un turut berjanji untuk menyediakan lebih banyak kapal selam termasuk kapal selam yang dilengkapi senjata nuklear taktikal kepada angkatan tentera laut Korea Utara.
Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan pesat tentera laut adalah menjadi keutamaan untuk pertahanan negara memandangkan keadaan geopolitik serta cubaan agresif oleh pihak musuh.
Majlis pelancaran itu diadakan menjelang sambutan ulang tahun ke-75 penubuhan Korea Utara, esok.
Foto-foto awal yang dikeluarkan oleh KCNA menunjukkan bahawa kapal selam terbaharu itu dilengkapi dengan 10 tiub peluru berpandu yang berkemungkinan mampu melancarkan peluru berpandu balistik (SLBM) dari kapal selam, walaupun Korea Utara tidak memberikan sebarang butiran.
Kapal selam itu juga dianggap mampu melancarkan ‘Haeil’, kenderaan dalam air tanpa pemandu bersenjata nuklear pertama Korea Utara yang diperkenal pada Mac lalu. -airtimes.my