[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=WSsWSl9wbgY[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 6 SEPT – Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD) Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan kini dilantik sebagai Panglima Tentera Darat (PTD) yang ke-30 berkuat kuasa hari ini.
Muhammad Hafizuddeain, 55, turut dinaikkan pangkat sebagai Jeneral dan mengambil alih jawatan nombor satu dalam Tentera Darat Malaysia (TDM) daripada Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman.
Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas PTD telah disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan di Wisma Pertahanan, hari ini.
Mohamad berkata, pihaknya percaya dengan kredibiliti dan kemampuan Muhammad Hafizuddeain untuk menerajui TDM dengan lebih baik dan membawa ketumbukan ini ke tahap yang lebih tinggi.
“Berbekalkan pengalaman selama 35 tahun dalam ATM dan daya kepimpinan yang tinggi, saya percaya beliau berupaya menerajui Tentera Darat dengan baik,
“Saya amat yakin, perubahan pucuk pimpinan ini tidak akan sekali-kali menjejaskan keteguhan, serta fokus segenap lapisan Tentera Darat, dalam menunaikan tanggungjawab, bagi memastikan keselamatan, kedaulatan dan kesejahteraan negara yang kita cintai ini sentiasa terpelihara,” katanya dalam ucapan pada majlis Serah Terima Tugas Panglima Tentera Darat ke-30 di Wisma Pertahanan, pada Rabu.
Muhammad Hafizuddeain, 55, yang dilahirkan di Segamat, Johor pada 18 April 1968, sebelum ini dilantik sebagai Timbalan PTD pada 23 Mac tahun ini.
Beliau mendapat pendidikan menengah dari Maktab Tentera Diraja pada 1985, dan memulakan khidmat dalam ATM pada 19 Ogos 1986 sebagai Pegawai Kadet sebelum ditauliahkan sebagai Leftenan Muda dalam kor Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada tahun 1988.
Sepanjang perkhidmatannya, Muhammad Hafizuddeain juga menghadiri pelbagai kursus dan pengajian di dalam dan luar negara, antaranya Diploma Sains Pengurusan di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN); Infantri Officer Advance Course di Amerika Syarikat; Command and General Staff College di Amerika Syarikat; Master in Management di Filipina; Sariana Sains Sosial (Pengajian Pertahanan) di Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) dan Royal College of Defence Studies di United Kingdom.
Antara jawatan penting yang pernah disandangnya adalah Pegawai Memerintah Batalion Keempat RAMD (4 RAMD); Panglima Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div) dan Panglima Medan Barat Tentera Darat (PMB TD). – airtimes.my