[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=Yb-epBv28t4[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 6 Sept – Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT) Ke-22 berkuat kuasa hari ini.
Pelantikan Mohammad sebagai Panglima Angkatan Tentera ke-22 adalah bagi menggantikan Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM yang akan mula bercuti dan seterusnya bersara wajib setelah berbakti dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selama 43 tahun.
Ia juga menyaksikan Mohammad menjadi Panglima TDM ke-19 dilantik ke jawatan terbabit selepas kali terakhir adalah Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin yang berkhidmat sebagai PAT ke-20.
Majlis Serah Terima Tugas jawatan itu disaksikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan di Auditorium Wisma Pertahanan, hari ini.
Mohamad Hasan dalam ucapannya berkata, pelantikan Mohammad adalah di atas kecemerlangan yang dipamerkan sepanjang 36 tahun bersama ATM.
“Ketika negara dilanda pandemik COVID-19, Mohammad telah dilantik sebagai Pengarah Bersama, di Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF), yang telah berjaya menyelaras proses pemulihan, dan membantu Malaysia keluar dari pandemik COVID-19, melalui Program Imuninasi COVID-19 Kebangsaan pada tahun 2021,
“Berbekalkan daya kepimpinan yang tinggi, saya percaya beliau akan berupaya meneraju dan memikul amanah bagi memastikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berada dalam kesiapsiagaan yang tinggi,” katanya.
Sementara itu, Mohamad Hassan, turut menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan yang tinggi kepada Affendi di atas segala jasa serta bakti sepanjang 43 tahun perkhidmatannya.
“Justeru, rakyat mengharapkan sebuah angkatan tentera yang utuh bagi menghadapi segala ancaman yang mendatang,
“Walaupun berlaku perubahan pucuk pimpinan, saya harap semangat kesetiaan dan profesionalisme akan terus terpahat dalam warga ATM,
“Adalah menjadi harapan saya, serta seluruh warga Kementerian Pertahanan dan ATM, agar kepimpinan baharu ini, akan dapat memimpin ATM ke arah keunggulan.” jelasnya lagi.
Mohammad Ab Rahman, 59, berasal dari Machang, Kelantan menerima pendidikan awal di Sekolah Menengah Sains Kelantan sebelum melanjutkan pengajian ke Cawangan Putera, Maktab Tentera Diraja pada 1980.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dari University of North Carolina, Amerika Syarikat itu ditauliahkan sebagai pegawai muda Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada 1 Julai 1987 dan berkhidmat selama 36 tahun.
Antara jawatan yang pernah disandangnya adalah Pegawai Memerintah Batalion ke-23 RAMD (23 RAMD), Panglima Briged Kedua Infantri Malaysia (2 Briged), Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen), Panglima Latihan Tentera Darat dan Panglima Medan Barat.
Mac lalu, Mohammad dilantik sebagai Panglima Tentera Darat (PTD) ke-29 menggantikan Jeneral Tan Sri Datuk Seri Zamrose Mohd Zain yang bersara. -airtimes.my