Home Semasa #Semasa: Tangani isu Laut China Selatan secara rasional, gunakan saluran perbincangan dan dialog – Anwar

#Semasa: Tangani isu Laut China Selatan secara rasional, gunakan saluran perbincangan dan dialog – Anwar

by M.Daim

JAKARTA, 5 SEPT – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan Malaysia telah menyuarakan kedudukannya dalam isu “Peta Standard China 2023” baru-baru ini.

Menurut beliau, isu berkaitan dengan Laut China Selatan wajar ditangani secara aman.

“Bagi Peta Standard China Edisi 2023, Malaysia telah menyuarakan secara jelas akan kedudukanya,

“Isu di Laut China Selatan mesti diuruskan secara aman dan rasional melalui dialog serta perbincangan,

“Ia (dialog dan perbincangan) perlulah mengikuti prinsip antarabangsa yang telah diiktiraf termasuk UN Convention on the Law of the Seas 1982 (UNCLOS),” katanya semasa sesi plenari Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 di Jakarta.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menyatakan ASEAN perlu berwaspada terhadap tindakan memecah belah oleh kuasa besar dengan sentiasa mendukung kepentingan kumpulan.

“Kita perlu memperkuatkan kapasiti organisasi, menyeragamkan mekanisma dan memastikan pelaksanaan keputusan yang dibuat mengikut jangka masa,

“Kita tidak boleh membiarkan apa yang telah dicapai tergugat dengan persaingan kuasa-kuasa besar yang tak terkawal,” katanya.

Peta Standard China Edisi 2023 yang dikeluarkan pada penghujung April lalu telah menunjukkan kawasan dan wilayah negara kuasa besar Asia itu.

Ia turut merangkumi Taiwan yang dianggap sebagai sebahagian daripada China.

Selain itu, peta yang dikeluarkan oleh Beijing turut merangkumi beberapa tuntutan bertindih dan kawasan pertikaian termasuk di Rusia, India dan juga kawasan Laut China Selatan.

Peta tersebut merangkumi tuntutan 9-dash line yang telah dibuat oleh China di kawasan Spratlys dan Paracel. Ia turut meletakkan Beting Serupai (James Shoal) di perairan Sarawak sebagai kawasan paling selatan negara itu.

Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) menegaskan peta yang dikeluarkan oleh Kementerian Sumber Asli Republik Rakyat China pada 28 Ogos lalu sebagai “tuntutan maritim sepihak (unilateral act) oleh China yang melangkau kawasan maritim Malaysia di Sabah dan Sarawak berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979.”

“Seperti yang ditegaskan Kerajaan Malaysia berhubung isu Laut China Selatan sebelum ini termasuk isu persempadanan maritim, Malaysia secara konsisten menolak tuntutan kedaulatan, hak kedaulatan dan bidang kuasa mana-mana pihak asing ke atas fitur maritim atau kawasan maritim negara kita berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979,” kata kenyataan Wisma Putra pada 30 Ogos lalu.

Menurutnya, Malaysia tidak sama sekali mengiktiraf peta yang diterbitkan oleh China.

Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menyatakan pihak kerajaan akan menghantar nota bantahan kepada China berhubung isu tersebut. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!