KUALA LUMPUR, 5 SEPT – Tentera Darat Malaysia (Tentera Darat) pada ketika ini sedang melaksanakan perolehan tambahan kenderaan berperisai.
Perkara tersebut disahkan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman, hari ini.
“ Kita dalam proses membuat penambahan kenderaan berperisai bagi kegunaan Kor Armor Diraja (KAD),
“Ia dilakukan melalui Projek Perolehan 136 Unit Kenderaan Perisai 4×4 dan Infrastruktur,” katanya di sidang media .
Terdahulu, Mohammad hadir menyempurnakan perbarisan penghargaan Panglima Tentera Darat ke-29, di Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau akan dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera bagi menggantikan Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM pada 6 Sept 2023.
Tampuk kepimpinan Tentera Darat Malaysia pula diserahkan kepada Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan.
Dalam masa yang sama, Mohamad turut menyatakan Panglima Medan Barat, Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim akan menjawat jawatan Timbalan Panglima Tentera Darat.
Sementara itu, Mohamad mengesahkan proses pemindahan AV8 Gempita telah dilaksanakan bermula 2 September 2023.
Menurut Panglima Tentera Darat, pemindahan ini adalah seiring dengan Kertas Putih Pertahanan dan Pelan Pembangunan Strategik Tentera Darat (Army 4NextG) 2021-2050.
“Tentera Darat telah merancang untuk melengkapkan Kenderaan Perisai di dua wilayah melibatkan Malaysia Barat dan Malaysia Timur,
“Ini bagi melaksanakan tugas dalam persekitaran geostrategik pelbagai domain secara serentak sejajar dengan rancangan transformasi Tentera Darat sebagai Angkatan Masa Hadapan,” katanya. – airtimes.my