Home Semasa #Semasa: Perpaduan kaum kunci kesejahteraan rakyat, negara – Agong

#Semasa: Perpaduan kaum kunci kesejahteraan rakyat, negara – Agong

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 31 OGOS – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah bahawa perpaduan antara berbilang bangsa dan kaum adalah kunci utama kepada keharmonian serta kesejahteraan rakyat termasuklah negara.

Menerusi hantaran yang dimuat naik di laman Facebook Istana Negara hari ini, Seri Paduka bertitah ia bersesuaian dengan tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini iaitu Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan.

“Malah, keutuhan perpaduan ini adalah juga kunci utama kepada kestabilan dan kemakmuran negara serta benih dan sumber kekuatan bagi kita menghadapi apa jua cabaran semasa dan mendatang,” titah Baginda.

Seri Paduka Baginda turut menyeru agar rakyat untuk mengimbau kembali lebih 6 dekad yang lepas apabila semangat kenegaraan dan cintakan tanah air telah menyatupadukan rakyat dengan tekad dan iltizam sehingga kemerdekaan yang diidamkan menjadi realiti.

Dalam masa yang sama, Baginda turut menyeru rakyat untuk menghargai dan menghayati jasa para pemimpin, pejuang dan patriot kemerdekaan negara dalam memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat selain jasa anggota pasukan keselamatan dalam mempertahankan kedaulatan negara.

“Justeru, menjadi tanggungjawab bersama para pemimpin dan rakyat dalam bukan sahaja memelihara dan mengukuhkan lagi keharmonian serta perpaduan yang dikecapi selama ini, malah menyemarakkannya lagi sesama kita,” titah Seri Paduka.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berkenan menyaksikan Sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya, hari ini.

Sejurus keberangkatan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah di pentas diraja, 5 pesawat iaitu 3 helikopter Airbus H225M (EC 725), AgustaWestland AW109 (Agusta A109) dan Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW 139 melakukan terbang lintas diiringi dengan nyanyian lagu kebangsaan Negaraku.

Seri Paduka kemudian menerima Tabik Hormat Diraja dan berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) terdiri daripada 4 pegawai dan 103 anggota diketuai Mejar Mohd Ridhwan Mohd Asri.

Ketibaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula diiringi paluan gendang dan disahut laungan ‘Malaysia MADANI’ sebanyak 3 kali.

Selain Perdana Menteri, 2 Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta menteri-menteri Kabinet termasuk Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, diplomat dan perwakilan asing serta dif-dif kenamaan turut menghadiri sambutan Hari Kebangsaan 2023 itu.

Acara sambutan yang melibatkan 17,262 peserta, 67 kontinjen, 36 kumpulan pancaragam, 534 aset darat dan aset udara serta 100 ekor haiwan dalam perkhidmatan, turut disiarkan secara langsung melalui kaca televisyen serta laman media sosial. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!