Home Diskusi #Kolumnis: BHIC jual saham, tanggungjawab kerajaan siapkan LCS

#Kolumnis: BHIC jual saham, tanggungjawab kerajaan siapkan LCS

by Zaki Salleh

Sebenarnya, seperti boleh dijangka bahawa proses pemulihan pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan melalui sesuatu yang baharu.

Telahan tersebut benar apabila Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) mengumumkan menjual kepentingannya dalam Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) kepada Ocean Sunshine Bhd. (Ocean Sunshine).

BHIC mempunyai kepentingan keseluruhan sebanyak 20.77 peratus.

Ocean Sunshine pula merupakan syarikat tidak langsung Menteri Kewangan (Diperbadankan) yang mana penjualan ini adalah pada harga RM1.

SAHAM BHIC DIBELI KERAJAAN

Penjualan ini dikatakan untuk memudahkan keputusan kerajaan dalam BNS dengan memperoleh 100 peratus saham BNS ini bagi memastikan projek LCS siap.

Syarikat induk BHIC, Boustead Holdings Bhd kini memiliki 68.85 peratus kepentingan ekuiti dalam BNS, manakala Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang mengawal kumpulan Boustead memegang baki 10.38 peratus kepentingan.

Sepertimana diketahui umum, skandal LCS yang menyaksikan projek pembinaan kapal tempur itu gagal disiapkan BNS akhirnya terpaksa diselamatkan oleh kerajaan.

TLDM sebelum ini terkesan dengan kegagalan projek New Generation Patrol Vessel (NGPV) yang gagal dan lewat disiapkan oleh pembekal.

Justeru, situasi penjualan kepentingan BHIC kepada kerajaan umpama mengulangi kembali peristiwa 18 tahun lalu pada apa yang berlaku dalam program Kapal Peronda Generasi Baharu (NGPV) TLDM.

Kerajaan ketika itu melalui syarikat Boustead milik LTAT terpaksa menyelamatkan projek NGPV  dengan membeli kepentingan saham majoriti dalam syarikat PSC-Naval Dockyard pada Disember 2005.

Setelah dibeli syarikat itu dijenamakan semula menjadi Boustead Naval Dockyard Sdn Bhd.

Boustead Naval Services (BNS) berjaya menyelamatkan projek NGPV walaupun ia terbeban dengan cabaran hutang dan masalah legasi PSC-Naval Dockyard.

Sebanyak enam buah NGPV telah diserahkan oleh syarikat tersebut kepada kerajaan antara 2006 hingga 2010.

PISANG BERBUAH DUA KALI

Sekadar mengimbas kembali sejarah, pembukaan Pangkalan TLDM Lumut pada era 1980an adalah bersama dengan pembinaan sebuah limbungan baik pulih moden iaitu Limbungan TLDM.

Bagaimana pun, atas faktor ekonomi dan usaha untuk membangunkan industri maritim, kerajaan pada tahun 1991 memutuskan agar Limbungan TLDM dikoporatkan.

Limbungan tersebut telah dijual pada tahun 1995 kepada syarikat swasta, Penang Shipbuilding & Construction Corporation (PSC) yang kemudian dikenali sebagai PSC-Naval Dockyard.

PSC-Naval Dockyard menjadi gergasi dalam industri pertahanan maritim negara apabila semua kontrak selenggaraan kapal-kapal TLDM diserahkan kepada syarikat tersebut.

Pada tahun 1998, kerajaan memberi kontrak pembinaan 27 buah kapal NGPV dengan anggaran kos keseluruhan sebanyak RM30 bilion kepada PSC-Naval Dockyard.

Littoral Combat Ship (LCS) untuk TLDM adalah berasaskan reka bentuk Gowind keluaran Naval Group.

Fasa pertama melibatkan pembinaan enam buah kapal berasakan rekaan OPV kelas Meko 100 dari Jerman dengan kos RM6 bilion.

Nilai kontrak yang diperolehi PSC-Naval Dockyard ketika itu bernilai amat  besar yang mana ramai dalam kalangan pemerhati pertahanan beranggapan syarikat ini akan menjadi katalis dalam industri pertahanan negara.

Bayangkan, dalam tempoh 10 hingga 15 tahun negara bukan saja mampu membina kapal-kapal perang, malah melengkapkan TLDM dengan aset termoden pada masa itu, NGPV.

Malangnya, kontrak ini gagal disiapkan dan tiada satu kapal pun diserahkan oleh PSC-Naval Dockyard sehingga Jun 2005.

Difahamkan, rentetan daripada pelbagai hal menyebabkan TLDM dan kerajaan tidak lagi berhasrat untuk meneruskan pembinaan baki 21 buah NGPV yang bernilai kira-kira RM24 bilion.

Sebaliknya, kerajaan kemudian memutuskan  untuk menggantikan projek berkenaan dengan projek kapal tempur pesisir (LCS).

GERGASI INDUSTRI MARITIM YANG TERSUNGKUR

Semasa zaman kegemilangannya, PSC-Naval Dockyard merupakan gergasi industri pertahanan terutamanya maritim.

Malah, ia kemudian mempunyai beberapa anak syarikat untuk meneroka lain-lain kontrak dalam bidang pertahanan.

Pada setiap kali penganjur Pameran Antarabangsa Udara dan Maritim Langkawi, PSC-Naval Dockyard hadir sebagai syarikat pempamer tempatan yang terbesar.

Dengan kapasiti, sokongan serta pengaruh dalam industri, PSC-Naval Dockyard dilihat mempunyai reputasi yang baik untuk memacu pembangunan industri pertahanan negara pada masa itu.

PSC-Naval Dockyard juga turut terbabit dalam projek kapal selam TLDM apabila pada tahun 1997 menawarkan dua kapal selam terpakai milik Belanda iaitu Zwaardvis dan Tijgerhaai.

Zwaardvis merupakan kapal selam dari Belanda yang pernah ditawarkan kepada TLDM oleh PSC-Naval Dockyard.

Dua kapal selam berusia 24 tahun ini telah dimuatkan ke dalam sebuah kapal dan diangkut ke Lumut dengan menjangkakan kerajaan akan membelinya untuk TLDM.

Jangkaan ketika itu adalah kerajaan hendak mendapatkan kapal selam terpakai untuk TLDM sebagai pendedahan awal sebelum kapal selam lebih moden dibeli.

Bagaimanapun, usaha PSC-Naval Dockyard tidak berjaya apabila kerajaan tidak memuktamadkan lagi cadangan membeli kapal selam yang hanya dibuat lima tahun kemudian.

Akibatnya, kedua-dua kapal selam itu tinggal lama di Lumut menunggu pembeli dan kemungkinan baik pulih sebelum akhirnya dilupuskan.

LCS DULU MODAL POLITIK, SEKARANG TIDAK LAGI

Walaupun projek NGPV yang terbengkalai bertahun-tahun akhirnya berjaya disiapkan setelah diselamatkan, tetapi episod kegagalan itu menjadi kudis dalam ingatan rakyat.

Jadi, apabila program LCS berhadapan skandal maka jutaan rakyat khususnya mereka yang cakna dengan keperluan Angkatan Tentera Malaysia untuk mempunyai aset yang baik merasa kecewa.

Antaranya, kecewa pada kemampuan syarikat tempatan yang diberi tanggungjawab untuk menyiapkan pembinaan atau kontrak kerajaan tetapi gagal.

Apabila kerajaan terpaksa campur tangan menjadi penyelamat termasuk menyuntik dana tambahan, maka timbul persoalan tentang apa yang akan berlaku pada syarikat yang gagal melunaskan janji tersebut?

Sepertimana yang telah berlaku dalam skandal NGPV, ia tidak lagi dibincangkan.

Ini kerana NGPV realitinya umpama kapal perang separuh siap apabila kapal tersebut dibina secara konsep Fitted For But Not With (FFBNW) iaitu kelengkapan (senjata) boleh dipasang pada masa hadapan jika dikehendaki.

Sebaliknya, dikatakan konsep FBBNW ini terpaksa dipilih ntuk memastikan kapal-kapal tersebut dapat disiapkan mengikut kemampuan perbelanjaan.

Entah mengapa, berita tentang penjualan saham BHIC ini tidak mendapat perhatian umum khususnya pihak-pihak yang gemar mempolitikkan sesuatu isu.

Tidak seperti isu skandal LCS pada tahun lalu, hampir kebanyakan orang-orang politik tampil memberikan pelbagai komen, analisis serta kritikan menghentam kerajaan masa itu.

Mungkin keadaan telah berubah atau iklim politik sekarang menyebabkan LCS tidak lagi dilihat menarik untuk dijadikan modal politik. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply