MANILA, 28 OGOS – Tindakan agresif Beijing di kawasan Laut China Selatan mesti dicabar dan dikawal.
Perkara tersebut disuarakan oleh Komander Armada Ketujuh Tentera Laut Amerika Syarikat (U.S. 7th Fleet), Vice Admiral Karl Thomas.
Beliau mengulas insiden penggunaan meriam air oleh Pasukan Pengawal Pantai China (CCG) terhadap kapal agensi kerajaan Filipina pada 5 Ogos lalu.
“Apabila mereka mula mengambil sedikit demi sedikit dan pada masa yang sama mula memberikan tekanan, kita perlu bertindak balas – teruskan pelayaran dan beroperasi,
“Insiden pada 5 Ogos lalu merupakan satu contoh tindakan agresif,” kata Karl dalam laporan yang dikeluarkan oleh Reuters.
Insiden pada awal bulan lalu menyaksikan CCG telah memintas dan menembak meriam air terhadap konvoi kapal Pasukan Pengawal Pantai Filipina (PCG) dan agensi negara kepulauan itu. Kejadian berlaku ketika konvoi terbabit sedang menuju ke pos barisan hadapan Filipina, BRP SIERRA MADRE di Second Thomas Shoal (Ayungin Shoal), Kepulauan Spratly.
Karl menyatakan beliau telah berbincang dengan Vice Admiral Alberto Carlos, komander Pusat Pemerintahan Filipina Barat (WESCOM) berkenaan isu di Laut China Selatan.
Menurut Karl, perbincangan tersebut adalah untuk mengenal pasti cabaran dan juga mencari penyelesaian bersama dengan Filipina berhubung perkara tersebut.
“Pihak kami (7th Fleet dan WESCOM) mempunyai cabaran bersama. Selain itu, saya mahu mendalami dan memahami pandangan beliau dari sudut operasi serta tanggungjawab,
“Dan saya juga memastikan beliau faham akan keupayaan yang kami ada,” jelas Karl.
Pada Sabtu lalu, Komander 7th Fleet telah menyertai penerbangan dari Manila bagi melihat sendiri situasi di Laut China Selatan.
Insiden 5 Ogos kawasan perairan barat Filipina sekaligus menimbulkan ketegangan di antara Manila dan Beijing.
Pihak China menegaskan kapal-kapal yang dimiliki Filipina telah menceroboh perairan mereka. Sementara itu, Manila menolak dakwaan Beijing dan menyatakan Second Thomas Shoal merupakan adalah wilayah Filipina.
Second Thomas Shoal atau Ayungin Shoal merupakan antara kawasan pertindihan China dengan Filipina melalui tuntutan 9-dash line oleh Beijing.
Mahkamah Arbitrasi Antarabangsa pada tahun 2016 telah memutuskan tuntutan oleh Beijing adalah tidak sah dan bertentangan dengan undang-undang antarabangsa. – airtimes.my