[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=p38TyFuwARo[/embedyt]
“IBU dan bapa adalah pemberi semangat utama kepada saya. Merekalah yang memberi semangat kepada saya ketika saya jatuh dan tidak bermaya serta merekalah pendorong utama kejayaan saya hari ini,” luah Leftenan Mohd Saiful Al-Fikri Rosli, 24.
Penerima anugerah Penuntut Terbaik Kursus Asas Komando Siri AK/1/2023 itu berkata, kerana galakan dari kedua ibu bapa dan keluarganya serta sokongan dari kawan-kawan, beliau tekad untuk menempuh segala perit getir selama 12 minggu sebelum bergelar warga Gerup Gerak Khas (GGK).
Menurut Mohd Saiful, salah satu faktor kejayaannya juga adalah ingin mengubah pandangan orang ramai yang mengatakan anak bongsu keluarga adalah lembik dan manja.
“Kalau keluarga lain mungkin mereka akan menolak apabila anak hendak menyertai komando. Tetapi bagi keluarga saya, mereka mengizinkan dan beri semangat terutama ayah saya,
“Ayah pernah berkata ‘pergilah buat yang terbaik untuk diri adik. Adik buatlah apa yang adik suka, asalkan adik berjaya,
“Memang kita selalu dengar anak bongsu jarang untuk menyertai aktiviti yang lasak tapi saya tekad ingin menukar pandangan orang ramai bahawa anak bongsu pun boleh jadi anak sulung. Anak bongsu pun boleh mengetuai keluarga,” jelasnya kepada Air Times selepas Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Komando Siri AK/1/2023 pada Sabtu lalu.
Pada Sabtu lalu, seramai 19 orang pegawai dan 59 anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) telah disarungkan dengan beret hijau serta dianugerahkan pisau komando setelah berhempas pulas selama 12 minggu sekali gus bergelar warga GGK.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Panglima 21 GGK, Mejar Jeneral Adi Ridzwan Abdullah di Pantai Betutu Laut, Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK), Kem Sungai Udang, Melaka.
Mohd Saiful serta 15 pegawai yang lulus kursus tersebut juga telah dinaikkan pangkat ke Leftenan sejurus selesai majlis pemakaian beret serta penganugerahan pisau komando.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, kekuatan mental menjadi faktor utama setiap individu yang ingin bergelar seorang komando.
Jelasnya, cabaran paling getir yang tidak dapat dilupakan adalah ketika berdepan peringkat Long March sejauh 160 kilometer (km) dan peringkat hutan serta paya.
“Kalau ikutkan semua fasa mempunyai cabaran masing-masing. Paling susah adalah Long March, tetapi sebelum itu fasa hutan dan selepas itu fasa paya,
“Walaupun ramai yang tumbang, tapi masih ramai yang tetap mempunyai kekuatan dan meneruskan perjalanan ketika melalui fasa-fasa tersebut,
“Bagi saya itu semua adalah kawalan dari segi mental masing-masing. Jika kita mempunyai ketahanan fizikal yang kuat macam mana pun, kalau mental tak kuat ia tidak akan berhasil dan tidak dapat teruskan latihan,
“Namun, berkat serta dorongan semangat kawan-kawan seperjuangan, kami tetap teruskan sehingga ke akhir kursus,” jelasnya lagi.
Sementara itu, perasaan sayu berbaur gembira turut terpancar pada wajah peneroka Felda Palong Timur, Rosli Othman, 63 yang tidak menyangka anak bongsu daripada 6 adik-beradik itu mampu membanggakan keluarga mereka.
Menurut Rosli, ketika dibangku sekolah, anak bongsunya itu tidak menunjukkan ciri-ciri meminati bidang ketenteraan kerana lebih cenderung ke arah kebudayaan.
Namun sebagai ibu bapa, beliau dan isterinya berusaha untuk memastikan anaknya berjaya melanjutkan pengajian ke Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sekali gus berjaya bergelar perwira negara.
“Kejayaan anak saya ini adalah hasil didikan mutlak ibu dan abang-abangnya yang memberi semangat. Sebagai seorang bapa tanggungjawab saya selagi anak saya hendak belajar, tanggungjawab saya mencari keperluan mereka,
“Kalau difikirkan pada mulanya agak lucu, kerana Mohd Saiful semasa di sekolah beliau adalah johan pemantun dan penari kebudayaan (zapin). Jadi bila dia beralih arah ke bidang tentera, macam tak kena, tapi saya kata segalanya tiada yang mustahil,
“Sebagai ibu bapa, kami sentiasa mendoakan anak-anak saya berjaya dalam bidang yang mereka ceburi. Tahniah adik, tahniah dah jadi seorang perwira negara,
“Adik dah buktikan yang adik mampu untuk memecahkan tradisi keluarga yang tiada seorang pun berkhidmat dalam bidang ketenteraan sekarang adik dah buktikan adik berjaya,” luahnya. -airtimes.my