Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut #Pertahanan: KD Laksamana Tun Abdul Jamil selamatkan 14 mangsa bot rosak di Pulau Perak

#Pertahanan: KD Laksamana Tun Abdul Jamil selamatkan 14 mangsa bot rosak di Pulau Perak

by Nurulhuda

IPOH, 7 Ogos – Kapal Diraja (KD) Laksamana Tun Abdul Jamil Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah menyelamatkan 14 mangsa bot pancing Northern Hunter yang terapung selama 3 hari akibat kerosakan enjin berhampiran Pulau Perak, pada Sabtu.

TLDM dalam kenyataan memaklumkan, bertindak atas maklumat yang diterima, Pusat Operasi Markas Wilayah Laut 3, Pulau Langkawi mengatur gerak asetnya yang sedang dalam penugasan Operasi Rondaan Selat Melaka ke lokasi bot bagi menghulurkan bantuan.

“Setiba di lokasi, anggota teknikal kapal telah menyiasat punca enjin bot gagal dihidupkan dan mendapati ia diakibatkan oleh pukat yang bergumpal pada bebaling serta kemudi bot itu,” jelas TLDM dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut pihak TLDM, KD Laksamana Tun Abdul Jamil telah menunda bot ke Pulau Segantang yang terletak sejauh 61 batu nautika (110 kilometer) dari lokasi kejadian dan kemudian diserahkan kepada pemiliknya untuk ditarik ke jeti berhampiran bagi kerja-kerja pembaikan.

Jelas TLDM, kesemua mangsa yang terdiri daripada 9 pemancing dan 5 kru bot disahkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Tindakan pantas kapal yang di bawah pemerintahan Komander Megat Mohamad Sofwan Firdaus Megat Mohamad Yunus selaku Pegawai Memerintah telah berjaya menyelamatkan nyawa dan bot yang mengalami kecemasan di laut,

“Insiden ini sekali lagi membuktikan komitmen TLDM dalam memelihara kesejahteraan komuniti maritim negara,” menurut kenyataan itu lagi.

KD Laksamana Tun Abdul Jamil ialah kapal jenis Korvet Kelas Laksamana yang mula berkhidmat dalam Armada TLDM sejak 1997. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply