MOSKOW, 20 JUL – Rusia akan mempertingkatkan kadar pengeluaran aset pertahanan mereka termasuk jet pejuang generasi ke-5, Su-57.
Perkara tersebut disahkan oleh Perdana Menteri Rusia, Mikhail Mishustin.
Jelasnya, perkara tersebut disuarakan dalam satu mesyuarat jawatankuasa tentera Rusia yang diadakan pada Selasa.
“Rancangan peningkatan kadar pengeluaran jet pejuang generasi ke-5 akan dilaksanakan,
“Selain daripada itu, pengeluar jet pejuang akan menyerahkan sejumlah Su-35S kepada tentera,
“Lebih banyak pesawat sedang dihasilkan,” kata Mikhail yang dipetik oleh media Rusia, TASS.
Su-57 merupakan jet pejuang generasi ke-5 Rusia yang mempunyai kelajuan supersonik. Pesawat ini dihasilkan oleh Sukhoi semenjak 2019, hampir 9 tahun selepas penerbangan ulungnya.
Pesawat stealth ini direka untuk mengempur pelbagai sasaran di darat, laut dan udara.
Dalam pada itu, Uralvagonzavod telah menyerahkan sejumlah kereta kebal T-90M Proryv dan T-72BZM, baru-baru ini.
“Syarikat pertahanan telah meningkatkan momentum pengeluaran sepanjang tahun lalu, tiga kali ganda dari kadar biasa,
“Kereta kebal yang dihasilkan adalah bagi memenuhi keperluan operasi ketenteraan khas di Ukraine,” katanya.
Selain itu, ZALA Aero Group dilaporkan turut meningkatkan kadar pengeluaran dron kamikaze mereka, Lancet, 50 kali ganda dari biasa. – airtimes.my