KUALA LUMPUR 14 Jul – Pelan Strategik 2023-2025 (MAMPAN25) Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang dilancarkan semalam dijangka dapat memenuhi sasaran jangka panjangnya dan membawa LTAT melangkah ke hadapan secara menyeluruh.
Ketua Eksekutifnya, Datuk Nazim Rahman berkata, bagi merealisasikan perkara itu LTAT perlu berada dalam kedudukan yang mampan sepanjang tempoh pelan tersebut.
Beliau berkata, bagi tujuan tersebut, LTAT akan melaksanakan strategi dan inisiatif khusus melalui empat teras iaitu Pertumbuhan, Ketahanan, Kesan dan Percaya.
“LTAT perlu berubah daripada fungsi dana pelaburan kepada dana persaraan. Untuk itu, kita harus pastikan pelaburan kita dalam aset cair seperti pendapatan tetap dan ekuiti awam (ditingkatkan) daripada 30 peratus ke minimum 60 peratus.
“Ini bermakna kita harus kurangkan penumpuan kepada pelaburan dalam syarikat,” katanya kepada Bernama selepas majlis pelancaran MAMPAN25, pada Khamis yang disempurnakan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan.
Nazim berkata melalui pelan tersebut tumpuan turut diberikan untuk meningkatkan prestasi pelaburan LTAT melalui peningkatan Aset Di Bawah Pengurusan (AUM) kepada RM15 bilion daripada jumlah sedia ada sebanyak RM9.3 bilion.
Selain itu, LTAT juga akan memperluaskan manfaat kepada para pencarum untuk memenuhi pelbagai jurang kesejahteraan sosial dan proses pendigitalan, menyokong inovasi serta menerima pakai amalan Future-of Work untuk mewujudkan budaya kerja berprestasi tinggi.
“LTAT juga akan membina imej korporat dan jenama LTAT yang positif yang akan membawa kepada indeks kepercayaan positif serta peralihan ke arah pemikiran berasaskan pengalaman pelanggan apabila menyampaikan perkhidmatan kepada pencarum,” katanya.
Menurutnya, melalui MAMPAN25, LTAT menyasar memperoleh semula keseluruhan kos pelaburan dalam anak syarikatnya Boustead Holdings Bhd sebanyak RM3.3 bilion dan mencapai nisbah solvensi sekurang-kurangnya 100 peratus pada setiap masa.
“Ia juga boleh mewujudkan kepelbagaian portfolio melalui pengurangan penumpuan dalam Boustead daripada 39 peratus kepada 15 peratus,” katanya.
MAMPAN25 yang dilancarkan hari ini itu merupakan hala tuju baharu LTAT bagi menghadapi cabaran ekonomi, melindungi kebajikan sosial pencarum dan pemangkin transformasi ke arah sebuah kumpulan wang simpanan mampan. – Bernama