[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=W0cSwrdUTFk[/embedyt]
PUTRAJAYA, 14 Jul – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menerima surat penghargaan daripada Badan Keamanan Laut Republik Indonesia (BAKAMLA) atas kerjasama agensi itu dalam operasi menahan sebuah kapal tangki berbendera Iran, MT Arman 114, di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Indonesia baru-baru ini.
Timbalan Ketua Pengarah Operasi APMM, Laksamana Madya Maritim Hamid Mohd Amin berkata, pada kejadian minggu lalu, BAKAMLA memohon bantuan APMM bagi melakukan tindakan kejar buru dalam operasi menahan kapal didakwa terlibat dalam aktiviti pemindahan haram minyak mentah.
Jelasnya, kapal tersebut didapati melakukan aktiviti pemindahan minyak yang mencurigakan ke atas kapal MT S Tinos berbendera Cameroon setelah kapal berkenaan melepasi sempadan perairan republik itu seterusnya memasuki Zon Maritim Malaysia.
“Bertindak kepada maklumat yang diterima, APMM telah mengatur gerak sebuah pesawat udara yang membawa Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) APMM ke lokasi yang telah dikenalpasti dalam perairan Malaysia,
“Dalam tindakan kejar buru itu, kru helikopter AW 139 APMM telah berjaya melakukan pintasan terhadap kapal tangki yang terlibat, seterusnya 7 anggota STAR TEAM telah melakukan ‘fast roping’ di atas kapal suspek bagi tindakan penguatkuasaan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hamid turut menjelaskan, kapal tangki tersebut disyaki melakukan pelanggaran peraturan maritim antarabangsa dan menyalahi peraturan Indonesia yang dipercayai membawa lebih 200 ribu tan metrik minyak mentah bernilai puluhan juta dolar.
“Setelah pemeriksaan dilakukan, anggota-anggota STAR Team turut berjaya menahan 28 anak kapal warga Syria dan 3 penumpang lain,
“Tindakan kerjasama bersepadu antara BAKAMLA Indonesia dan APMM ini menunjukkan keberkesanan kerjasama yang dijalinkan sejak sekian lama melalui latihan bersama di kawasan perairan Selat Melaka,” ujarnya lagi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, operasi ini turut membuktikan kerjasama antara Malaysia dan Indonesia berjaya memastikan keamanan perairan wilayah masing-masing berada dalam keadaan yang selamat.
“Ia juga memberikan keyakinan kepada kapal dagang melalui kawasan ZEE dengan selamat, seterusnya menyumbang kepada kestabilan maritim serantau,
“Melalui kejayaan operasi tersebut, diyakini kerjasama yang lebih kukuh di antara APMM dan Bakamla akan terus dipertingkatkan dalam memerangi ancaman jenayah di kawasan perairan yang melibatkan negara-negara serantau,” tambahnya lagi. -airtimes.my