Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat #Pertahanan: Tentera Darat terima RM110 juta baik pulih rumah anggota – PTD

#Pertahanan: Tentera Darat terima RM110 juta baik pulih rumah anggota – PTD

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 12 Jul – Tentera Darat Malaysia (TDM) akan menerima peruntukan sebanyak RM110 juta bagi membaik pulih dan menyelenggara bangunan kediaman anggota serta pegawai di seluruh negara.

Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman berkata, peruntukan berkenaan adalah penting dalam meningkatkan kebajikan warga TDM.

Beliau menjelaskan, ia merupakan sebahagian daripada RM200 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membaik pulih dan menyelenggara rumah anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), baru-baru ini.

“TDM mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan terutama Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan kerana meluluskan peruntukan sebanyak RM200 juta kepada ATM,

“Namun, difahamkan sebanyak RM110 juta daripada jumlah itu akan diperuntukkan kepada TDM untuk digunakan bagi memperbaiki dan menambah baik serta menyelenggara rumah-rumah keluarga, bangunan penginapan dan lain-lain (premis) yang dilihat membantu Tentera Darat menaik taraf bangunan usang sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas hadir Perbarisan Penyerapan Pegawai dan Anggota Sukarela Yang Dipertugaskan Sepenuh Masa Ke Dalam Angkatan Tetap di Padang Kawad Kem Kementah, seperti dilapor Bernama, hari ini.

Pada Jumaat, kerajaan telah memperuntukkan tambahan RM200 juta bagi membaik pulih dan menyelenggara rumah anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara.

Beliau dilaporkan berkata kerajaan meluluskan peruntukan ini setelah melihat kedudukan perumahan tentera yang sangat teruk dan terbiar sekian lama.

Terdahulu, seramai 26 Pegawai dan 468 anggota telah diserap ke dalam 15 Kor dan Rejimen dalam TDM setelah mendapat kelulusan Majlis Angkatan Tentera (MAT) Ke-608 yang telah bersidang pada 14 Jun yang lalu dan telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Mohammad berkata, proses penyerapan pada kali ini dilaksanakan secara besar-besaran dan merupakan yang paling ramai diserap untuk mengisi kekosongan berkenaan.

“Melalui penyerapan ke angkatan tetap, pegawai-pegawai dan anggota-anggota sukarela yang dipertugaskan sepenuh masa ini layak untuk menikmati kemudahan dan perkhidmatan seperti pembayaran pencen dan melanjutkan pengajian di bawah tajaan perkhidmatan,

“Selain itu, kesemua mereka juga berpeluang berkhidmat di luar negara, kemudahan membuat pinjaman perumahan kerajaan dan lain-lain kemudahan yang dinikmati oleh pegawai dan anggota tetap yang lain,” jelasnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!