Home Pertahanan dan Keselamatan #Pertahanan: Program usahawantani Putra-PERHEBAT memartabat sosioekonomi bakal pesara, veteran ATM

#Pertahanan: Program usahawantani Putra-PERHEBAT memartabat sosioekonomi bakal pesara, veteran ATM

by Bernama

SERDANG, 12 Jul – Program Usahawantani Putra-PERHEBAT yang dilancarkan sejak Mac lepas mampu meningkatkan sosioekonomi golongan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kata Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari.

Beliau berkata program kolaborasi antara Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) berasaskan latihan dan bimbingan berstruktur dalam bidang pertanian dan penternakan adalah khusus untuk anggota ATM yang akan bersara dan veteran.

Menurutnya, program itu berperanan sebagai lonjakan kerjaya kedua kepada kumpulan sasar selain menyokong inisiatif kerajaan memperkasa keterjaminan makanan negara.

“Ia bertepatan dengan matlamat Kertas Putih Pertahanan (KPP) untuk memartabatkan sosioekonomi veteran melalui program latihan dan peluang kerjaya kedua,” katanya semalam.

Beliau berkata demikian selepas membuat lawatan kerja ke tapak program Usahawantani Putra-Perhebat di Pusat Pertanian Putra, UPM Serdang pada Selasa.

Adly berkata program itu ditawarkan dalam dua kategori iaitu bakal pesara ATM dan veteran ATM di mana untuk bakal pesara, mereka perlu menghabiskan latihan dalam industri untuk tempoh antara tiga hingga lima bulan.

“Bagi veteran ATM, ia terbuka kepada veteran yang berminat untuk mengusahakan pertanian berkelompok sebagai kerjaya dengan mengusahakan tapak pertanian di UPM Serdang,” katanya.

Ketika ini terdapat 20 peserta yang sedang menjalani latihan di UPM Serdang dan antara hasil pertanian ialah cili, terung, ‘sun melon’ dan tembikai susu selain bidang penternakan melibatkan ikan keli dan burung puyuh yang akan dipasarkan di Putra Mart, UPM dan pemborong sekitar Serdang.

Sementara itu, mengulas mengenai insiden letupan bom lempar ketika sesi latihan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas di Negeri Sembilan, bulan lepas, Adly berkata maklumat penuh berkaitan kes terbabit akan diperoleh selepas mesyuarat Majlis Angkatan Tentera yang dijangka diadakan minggu hadapan.

“Kebiasaannya, selepas mesyuarat itu pihak ATM akan kemukakan laporan terperinci berhubung insiden terbabit. Kita akan memaklumkan kepada keluarga mangsa yang terlibat dan melalui proses yang sama dari segi pampasan dan seumpamanya,” katanya.

Dalam insiden berkenaan, dua maut melibatkan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia yang sedang menjalani Latihan Menembak Senjata Bantuan dan Bom Lempar Penuntut Kursus Peningkatan Pembantu Pertahanan Kelas 1 (KPPP Kls 1) Siri 78/23 yang berlaku di Tapak Latihan Grenade Asas, di lapang sasar kem terbabit. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!