KUALA LUMPUR, 5 Jul – Dua bekas Perdana Menteri bertemu malam tadi untuk membincangkan kerjasama menerusi Proklamasi Orang Melayu.
Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan mengadakan pertemuan hampir 2 jam di kediaman Tun Dr Mahathir malam tadi.
Pertemuan kedua-dua bekas Perdana Menteri itu dipercayai yang pertama sejak Langkah Sheraton pada 2020 yang membawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Dr Mahathir tumbang sebelum Muhyiddin mengambil alih sebagai Perdana Menteri.
Pengerusi sekretariatnya, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, pertemuan itu membuktikan manifestasi penyatuan Melayu diusahakan Mahathir mendapat sambutan dari pelbagai pihak walaupun berlainan ideologi.
“Kedua tokoh pemimpin Melayu ini sanggup ketepikan segala perbezaan fahaman politik lampau demi menjaminkan kelangsungan perjuangan untuk memperkasakan kedudukan anak bangsa di bumi bertuah ini,
“Sifat terpuji Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal menjadi satu sandaran baharu kepada keseluruhan orang Melayu yang amat ‘dahagakan’ penyatuan atau perpaduan Melayu secara mutlak,
“Bangsa Melayu sedang menuntut penyatuan yang jitu demi memperkasakan semula kedudukan anak bangsa supaya menjadi satu bangsa yang dihormati oleh semua pihak baik di dalam mahupun luar negara,” katanya dalam satu kenyatan hari ini.
Sementara itu, Muhyiddin Yassin menerusi satu kenyataan berkata, pertemuan 4 mata ini telah berjalan dalam suasana yang mesra dan saling hormat-menghormati antara mereka berdua.
“Kami telah berbincang panjang lebar tentang kedudukan dan masa depan orang Melayu tanpa menyentuh Proklamasi Orang Melayu secara khusus,” jelasnya.
Dalam masa yang sama, beliau turut menjelaskan, pihaknya bersetuju untuk mengukuhkan perpaduan orang Melayu dan meningkatkan sokongan kepada parti khususnya dalam menghadapi pilihan raya di 6 buah negeri tidak lama lagi.
Pada Jun lalu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu dilaporkan bersetuju bertemu dengan Tun Mahathir demi memperjuangkan nasib orang Melayu Islam.
Muhyiddin yang juga Presiden Parti Bersatu Pribumi Malaysia (BERSATU) itu berkata, situasi politik ketika ini meletakkan orang Melayu dan umat Islam dalam persimpangan getir.
Katanya, selepas membaca 12 agenda dalam proklamasi itu yang disifatkannya agak baik dan menjadi asas prinsip perjuangan parti pimpinannya.
Kenyataan berkenaan dikeluarkan susulan, bekas Pengerusi Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) terlebih dahulu menyatakan kesediaannya bekerjasama semula dengan bekas sekutunya itu.
Tun Mahathir sebelum ini mengakui beliau kini bersedia untuk menjalinkan kerjasama dengan Pengerusi PN sekiranya kedua-dua pihak dapat mencapai matlamat yang sama. -airtimes.my