Home Teknologi Pertahanan #TeknologiPertahanan: Kolumnis – Perolehan HMAV Tarantula pacu kemajuan kejuruteraan anak Malaysia

#TeknologiPertahanan: Kolumnis – Perolehan HMAV Tarantula pacu kemajuan kejuruteraan anak Malaysia

by Zaki Salleh

Apabila bercakap tentang membangunkan sesebuah industri, sifir mudahnya ialah tiada jalan pintas untuk mencipta kejayaan atau berada pada kedudukan teratas.

Sesuatu produk yang dihasilkan juga hanya bersifat matang apabila penambahbaikan dilakukan dari masa ke semasa demi mengatasi kekurangan yang ada.

Imbas kembali 40 tahun lalu, Perusahaan Otomobil Nasional Sdn. Bhd. atau PROTON diwujudkan dengan matlamat untuk membantu memacu perindustrian ekonomi Malaysia.

PROTON mewujudkan ekosistem untuk industri automotif negara yang masih baharu pada masa itu.

Kemajuan industri automotif negara ini kemudiannya mewujudkan pelbagai segmen dalam industri automotif termasuklah pertahanan.

Ini dapat dilihat hari ini dengan lahirnya beberapa syarikat besar yang terbabit dalam segmen tersebut.

Hari ini hampir sebahagian besar kenderaan pengangkut seperti trak yang digunakan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pasukan keselamatan lain merupakan buatan atau pemasangan tempatan.

Kebanyakan syarikat yang terlibat pula bermula kecil sebelum diberikan kontrak kerajaan dan berjaya membangunkan bidang masing-masing.

Seperti bidang lain, industri ini tidak terkecuali bersifat dinamik apabila berkembang dengan pembukaan industri hiliran dan melahirkan lebih ramai anak tempatan yang menguasai bidang kejuruteraan automotif pertahanan.

MILDEF mengambil langkah yang berani untuk mempamerkan kemampuan dan keupayaan anak tempatan dalam industri pertahanan tanah air. Foto: Air Times/M. Daim

Sebab itu, apabila munculnya syarikat tempatan, Mildef International Technologies Sdn. Bhd. (MILDEF) yang mengetengahkan model kenderaan berperisai mobiliti tinggi empat roda (HMAV 4×4) Tarantula, umum memberikan

perhatian.

HMAV 4×4 Tarantula bukan saja-saja dibina, ia dibangunkan dengan tujuan untuk ditawarkan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai salah sebuah kenderaan tempur.

MILDEF wajar diberikan pujian apabila berani membuat pelaburan untuk masuk dalam segmen automotif pertahanan atau lebih khusus lagi untuk menjadi pengeluar kenderaan perisai.

Tarantula HMAV 4×4 menggunakan kemahiran anak tempatan ini telah pun menjalani pelbagai ujian penilaian menepati spesifikasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan standard antarabangsa.

Sepertimana kebanyakan kenderaan HMAV, Tarantula boleh dipasang sistem persenjataan moden seperti Stesen Senjata Kawalan Jauh (RCWS) untuk membolehkannya menembak 360 darjah semasa bertempur.

Sebagai sebuah kenderaan tempur, ia boleh melakukan pelbagai peranan mengikut pada sistem persenjataan atau kupola yang dipasang termasuk senjata antikereta kebal.

Kemunculan HMAV 4×4 Tarantula pada pameran Indo Defence 2022 di Jakarta International Expo pada November tahun lalu juga telah menarik perhatian para pemerhati pertahanan di sana.

Indo Defence merupakan pameran pertahanan bagi aset-aset ketenteraan dan keselamatan  terbesar di Indonesia serta antara yang terbaik di rantau ini.

Berbeza dengan pameran pertahanan serantau lain, fokus utama Indo Defence ialah mengetengahkan produk ketenteraan buatan Indonesia selain kehadiran firma luar negara.

Ini merupakan kali pertama Tarantula dipamerkan pada pameran pertahanan di luar Malaysia yang mana Indo Defence merupakan permulaan yang baik.

HMAV 4×4 Tarantula dilihat antara calon yang sesuai untuk menggantikan peranan Radpanzer Condor. Foto: Air Times/M.Daim

Sepertimana diketahui, HMAV Tarantula turut bersaing dalam program penggantian kenderaan perisai pembawa anggota (APC) Radpanzer Condor 4×4.

Kerajaan tahun lalu telah mengumumkan peruntukan bagi melaksanakan perolehan 136 kenderaan jenis A 4×4 bagi meningkatkan keupayaan Tentera Darat.

Jumlah 136 buah itu juga bukan angka sebenar jika hendak menggantikan Radpanzer Condor melainkan dibuat secara berperingkat-peringkat.

Sehingga kini keputusan akhir mengenainya belum dimuktamadkan.

Walaupun status sebagai kenderaan perisai buatan tempatan bukanlah penentu bahawa Tarantula menjadi pilihan ATM, namun untuk memilihnya juga tidak salah.

Ini kerana semua industri pertahanan mana-mana negara pun bergantung kepada sokongan kerajaan masing-masing menerusi kontrak yang diterima.

Jika faktor keupayaan produk tersebut mestilah benar-benar sudah teruji secara hakiki, HMAV Tarantula boleh melalui fasa tersebut apabila kenderaan ini digunakan.

Logiknya juga, hanya setelah kenderaan tersebut dioperasikan secara lasak dan maksimum di medan barulah sebarang permasalahan kenderaan dapat dikenalpasti dan diperbaiki pada model seterusnya.

Ini merupakan proses biasa dalam pembangunan industri pertahanan termasuklah yang dilalui negara maju.

Prototaip HMAV 4×4 mula diperkenalkan oleh MILDEF kepada umum pada tahun 2021. Foto: Air Times/M.Daim

Cuma bezanya, skala ekonomi perusahaan mereka lebih besar dengan pasaran luas selain mempunyai ekosistem industri yang sistematik.

Mengambil contoh negara jiran, Singapura dan Indonesia misalnya menggunakan kenderaan perisai tempatan bersama-sama lain-lain kenderaan buatan luar.

Dengan cara ini, negara berkenaan telah menyuntik industri sendiri menerusi sokongan yang diberikan dan hasilnya pihak industri dapat meneruskan proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) kerana adanya dana mencukupi.

Soal dana sangat penting kerana tanpa kewangan yang kukuh ia tidak dapat menjayakan R&D secara berterusan.

Sekiranya industri ini disokong kerajaan tidak mustahil syarikat tempatan seperti MILDEF berupaya membangunkan industri automotif pertahanan yang lebih hebat termasuk membina kereta kebal pada masa mendatang.

Menggunakan kenderaan perisai tempatan juga memberi cerminan keyakinan pada jenama buatan anak-anak Malaysia. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!