Home Semasa #Semasa: Hanya pelarian Rohingya yang layak dapat masuk IPT, Khaled gesa rakyat usah bimbang

#Semasa: Hanya pelarian Rohingya yang layak dapat masuk IPT, Khaled gesa rakyat usah bimbang

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 22 Jun – Rakyat tidak perlu bimbang dengan kehadiran pelarian etnik Rohingya yang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan kerana tidak semua boleh berbuat demikian.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pelarian Rohingya yang masuk ke IPT sama ada awam atau swasta adalah mereka yang berkelayakan dengan tempat terhad.

“Tidak semua etnik Rohingya seperti yang kita lihat di luar, ada di antara mereka yang berkelayakan. Malaysia sebuah negara yang ramai pelajar antarabangsa datang untuk belajar, jadi ada antaranya Rohingya,

“Sekiranya dia (Rohingya) berkelayakan, boleh bayar, mereka boleh memohon melanjutkan pelajaran ke IPT dalam bidang tertentu dengan tempat yang terhad. IPTS memang terbuka,

“IPT ini bukan ambil semua (Rohingya) masuk semua universiti, tidak. Situasi ini bukan berniaga di tepi jalan, hendak masuk ke universiti kena ada kelayakan merit, bukan semua orang boleh,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kebimbangan orang ramai dengan langkah membenarkan pelarian Rohingya menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi di IPT tempatan.

Kelmarin Penasihat KPT, Prof Emeritus Dr Morshidi Sirat dilaporkan berkata, pelarian Rohingya yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi dapat berbuat demikian tidak lama lagi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Peluang melanjutkan pengajian untuk pelarian itu akan dibiayai menerusi sumbangan dana Qatar untuk pembangunan yang diterima sebelum tahun 2020, berjumlah AS$50 juta (RM231 juta). -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!