Home Pertahanan dan Keselamatan #Keselamatan: PATI sanggup bayar RM6,000 hingga RM7,000 untuk masuk Malaysia

#Keselamatan: PATI sanggup bayar RM6,000 hingga RM7,000 untuk masuk Malaysia

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 22 Jun – Penahanan 3 lelaki tempatan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) minggu lalu telah berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan manusia yang aktif beroperasi di Kelantan.

Individu yang dipercayai berperanan sebagai Transporter kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) ini ditahan menerusi Ops Gelombang dalam serbuan di kawasan sekitar Terminal Bas Utama di Kota Bharu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, operasi yang sama turut menahan 68 PATI berumur 10 hingga 62 tahun yang dipercayai cuba merebut peluang pekerjaan secara haram di negara ini.

Beliau berkata, kesemua mereka dipercayai baru tiba dari negara jiran dan kemudian dipindahkan ke sekitar terminal bas tersebut.

Ruslin berkata, dalang sindiket ini dipercayai mengenakan bayaran antara RM6,000 hingga RM7,000 bagi setiap PATI untuk masuk ke negara dan dipercayai telah aktif sejak 6 bulan yang lalu.

Manakala Transporter tempatan menerima upah antara RM150 hingga RM250 bagi setiap orang PATI yang diangkut dari sempadan ke terminal bas berkenaan.

“Berdasarkan maklumat orang awam dan risikan selama 2 bulan mendapati modus operandi sindiket adalah menyeludup PATI melalui pengkalan haram di sempadan Malaysia-Thailand,

“Kesemua PATI ini kemudian akan di bawa ke destinasi tertentu ke luar Kelantan dan sekitar Lembah Klang,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, kesemua PATI yang ditahan disyaki melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966.

“Manakala 3 orang lelaki tempatan telah dihadapkan ke mahkamah dan di reman selama 6 hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi tujuan siasatan di bawah Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,

“Dalam operasi ini juga, sebanyak 3 buah kenderaan pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM50,000 turut disita untuk tindakan lanjut jabatan,” ujarnya lagi.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!