KUALA LUMPUR, 21 JUN – Sebanyak 43 pencerobohan ruang udara Malaysia direkodkan sepanjang 5 bulan pertama 2023.
Perkara tersebut dinyatakan dalam penyata jawapan lisan oleh Menteri Pertahanan di Dewan Negara.
Menurutnya angka tersebut merangkumi Pencerobohan Ruang Udara Berdaulat (dalam ruang udara wilayah Malaysia, MTA) dan Pencerobohan Ruang Udara Berkepentingan (di zon Zon Ekonomi Eksklusif).
“Sebanyak 6 pencerobohan ruang udara berdaulat berlaku di wilayah Semenanjung Malaysia,
“37 pencerobohan ruang udara berkepentingan direkodkan di seluruh negara,” katanya.
Pencerobohan ruang udara berdaulat melibatkan 2 kes tidak mengikuti laluan seperti yang dimohon dan 4 kes tanpa permohonan.
Tambahnya, tindak balas terhadap pencerobohan ruang udara negara oleh pesawat asing dilakukan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melalui pelan operasi khusus Strategi Pertahanan Udara Nasional (SPUN)
“Kementerian Pertahanan memandang serius terhadap sebarang bentuk ancaman kedaulatan dan pencerobohan oleh pesawat asing yang memasuki ruang udara negara tanpa kebenaran,
“Pihak Kementerian turut mengemukakan laporan pencerobohan yang telah dikenal pasti dan cadangan Bantahan Diplomatik secara berkala kepada Kementerian Luar Negeri untuk tindakan lanjut,” kata penyata jawapan lisan yang menjawab soalan Ahli Dewan Negara, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai.
Pendedahan yang dijelaskan oleh Menteri Pertahanan di Dewan Negara sekaligus memberikan gambaran bahawa TUDM sentiasa memastikan kedaulatan ruang udara negara sentiasa terpelihara melalui pemantauan serta tindak balas berterusan.
Pendedahan ini juga merupakan kali pertama dilakukan semenjak pencerobohan oleh pesawat China yang berlaku pada Jun 2021. Pada ketika kejadian, TUDM telah menghantar pesawat Hawk 208 daripada No. 6 Skuadron telah dihantar untuk memintas 16 buah pesawat Tentera China yang memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM). – airtimes.my