BAGAN AJAM, 18 Jun – Seramai 448 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dianugerahkan Pingat Jasa Malaysia (PJM) dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Konvensyen Perda, Pulau Pinang, pada Sabtu.
Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM memaklumkan, pingat berkenaan disampaikan oleh Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Shahada Ismail TUDM yang mewakili Panglima ATM Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM.
Menurut JHEV, jumlah penerima PJM ini adalah termasuk balu dan wakil waris kepada pesara yang telah meninggal dunia.
Tambahnya, penganugerahan ini merupakan kurniaan atas sikap keperwiraan dan pengorbanan anggota tentera dalam melaksanakan kewajipan kepada negara.
“Kejayaan bekas anggota tentera membanteras ancaman komunis selain memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan telah melayakkan mereka dianugerahkan PJM berkenaan,
“Syarat kelayakan menerima PJM adalah telah berkhidmat atau terlibat dalam operasi secara berterusan selama 3 bulan dan ke atas atau telah bertugas secara langsung tidak kurang dari 6 bulan di mana-mana pasukan atau formasi ATM bagi tempoh dari 1 Jan 1969 hingga 2 Dis 1989 bagi operasi menentang Parti Komunis Malaya (PKM),
“Telah berkhidmat atau terlibat dalam operasi secara berterusan selama tiga bulan dan ke atas atau telah bertugas secara tidak langsung tidak kurang dari enam bulan di mana-mana pasukan atau formasi ATM bagi tempoh 1 Jan 1969 hingga 17 Okt 1990 bagi operasi menentang Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU),” kata JHEV ATM dalam satu kenyataan.
Selain itu, mereka yang terbunuh, cedera atau menjadi kurang upaya disebabkan oleh tugas menentang pengganas PKM bagi tempoh 1 Jan 1969 hingga 2 Dis 1989 atau pengganas PKKU bagi tempoh 1 Jan 1969 hingga 17 Okt 1990 turut layak menerima PJM ini.
Dalam masa yang sama, JHEV ATM menjelaskan, Kementerian Pertahanan (MINDEF) sentiasa prihatin dengan nasib dan hal ehwal Veteran ATM.
Malah tambahnya, aspek kesejahteraan veteran ATM menjadi salah satu teras utama dalam pelan strategik kementerian ini.
“Sehubungan itu, JHEV ATM akan meneruskan skim-skim bantuan kebajikan, perubatan, pendidikan dan perumahan sedia ada serta terus menambahbaik perkhidmatan dalam agenda memperkasakan kebajikan Veteran ATM,
“Selain itu MINDEF juga meneruskan usaha untuk mencari pendekatan terbaik dalam meningkatkan taraf kehidupan Veteran ATM khususnya dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu dan kos sara hidup yang meningkat,” tambah kenyataan itu lagi.
Pihak JHEV turut memaklumkan, sehingga hari ini, seramai 37,492 warga veteran ATM telah menerima pingat tersebut manakala bagi veteran yang layak dan belum lagi menerimanya akan dijadualkan penganugerahannya pada masa akan datang.-airtimes.my