KUALA LUMPUR, 17 Jun – Polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang berkongsi maklumat siasatan bagi menentusahkan serta menjalankan siasatan lanjut berhubung penglibatan pihak politik dalam aktiviti judi dalam talian.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya ada menerima maklumat mengenai pembabitan kumpulan itu.
“Polis dan SPRM sedang berkongsi maklumat siasatan bagi menentusahkan dan menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara tersebut,
“Polis mengulangi komitmen tidak akan membiarkan kegiatan menimbulkan kemudaratan kepada masyarakat dan negara serta segala langkah diambil adalah berteraskan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Terdahulu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan terdapat kegiatan perjudian dalam talian yang dinaungi pemimpin politik.
Beliau ketika di Dewan Rakyat mendedahkan, ‘naungan politik’ ini sekali gus mempengaruhi tindakan pihak berkuasa dalam membanteras jenayah tersebut.
Katanya, pihak yang menyediakan platform perjudian dalam talian itu boleh mengaut keuntungan sekitar RM200 juta seminggu. -airtimes.my