Home Semasa Isu pakaian jururawat tak wajar diperbesar – CUEPACS

Isu pakaian jururawat tak wajar diperbesar – CUEPACS

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 17 Jun – Isu pemakaian jururawat merupakan kes terpencil dan tidak sewajarnya diperbesarkan.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat menjelaskan, penetapan kod pakaian jururawat dalam perkhidmatan awam telah dibuat berdasarkan garis panduan yang sentiasa ditambah baik.

Sebaliknya beliau berharap, lebih banyak isu-isu berkaitan kebajikan serta tekanan kos sara yang dihadapi oleh penjawat awam diketengahkan berbanding masalah-masalah terpencil ini.

“Jururawat di seluruh negara berhadapan dengan beban tugas yang berat dengan ada dalam kalangan mereka terpaksa bertugas melebih norma waktu disebabkan kekurangan petugas,

“Hal ini perlu menjadi keutamaan semua pihak terutama dalam memastikan kebajikan penjawat awam ini dijaga dan dalam masa yang sama dapat memberikan perkhidmatan terbaik,

“CUEPACS berharap semua ahli Dewan Rakyat dapat membawa isu yang lebih besar serta memberi manfaat kepada kebajikan penjawat awam dan sistem penyampaian perkhidmatan awam,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, pemakaian seluar panjang dengan baju berlengan panjang ketika ini adalah amat sopan dan menutup aurat.

Katanya, rekaan pakaian tersebut juga memudahkan pergerakan jururawat ketika melaksanakan tugas yang sentiasa memerlukan pergerakan fizikal.

“Soal pakaian ketat tersebut adalah lebih kepada individu dan tidak menggambarkan keseluruhan jururawat dalam perkhidmatan awam,

“Dalam hal ini adalah menjadi tanggungjawab kepada ketua jabatan untuk membuat teguran dan memastikan etika pemakaian kakitangan masing-masing mematuhi garis panduan ditetapkan,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meneliti semula etika pemakaian jururawat wanita, termasuk mempertimbang keperluan memberi kelonggaran kepada pihak klinik dan hospital menentukan etika berpakaian yang sesuai.

Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor ketika membahaskan usul Kertas Putih Kesihatan di Dewan Rakyat, pada Rabu dilaporkan mempersoalkan etika pemakaian jururawat wanita di klinik dan hospital kerajaan, yang didakwa berpakaian ketat dan tidak patuh syariah.

Wan Razali dilaporkan, menggesa KKM meneliti semula etika pemakaian jururawat wanita, termasuk mempertimbang keperluan memberi kelonggaran kepada pihak klinik dan hospital menentukan etika berpakaian yang sesuai. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply