Home Semasa Kegiatan judi dalam talian dinaungi orang politik – Saifuddin

Kegiatan judi dalam talian dinaungi orang politik – Saifuddin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 15 Jun – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan kegiatan perjudian dalam talian haram di negara ini dinaungi oleh pemimpin politik.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika mendedahkan perkara itu berkata, ‘naungan politik’ ini sekali gus mempengaruhi tindakan pihak berkuasa dalam membanteras jenayah tersebut.

“Satu dunia dengan ledakan teknologi baharu ini berdepan dengan perkara itu, tidak kiralah Amerika ke Eropah. Untuk saya berdiri di sini (Dewan Rakyat) mengatakan Malaysia ini, aktiviti perjudian dalam talian haram (bebas) daripada naungan politik, orang akan ketawakan kita,

“Ya memang wujud elemen naungan politik ke atas players (pemain-pemain). Ada. Secara afirmatif, ada,

“Dari situlah (naungan politik) datang pengaruh dan pelindungan, dari situlah datang rasuah, dan dari situlah wujudnya tipis kemahuan politik untuk mengadakan dan membaharui tekad untuk memerangi perkara ini habis-habisan,

“Pusingan dia adalah ‘players’ dinaungi dan dia membalas (memberi faedah kepada) dia punya ‘political master’. Political masters melindungi mereka supaya tindakan tidak diambil. Contohnya, maklumat dibocorkan,” katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Saifuddin berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ramanan Ramakrishnan (PH-Sungai Buloh) yang bertanyakan apakah yang menyukarkan pihak polis mengekang aktiviti perjudian dalam talian, dan adakah wujud naungan politik dalam aktiviti tersebut.

Dalam masa yang sama, beliau turut menjelaskan, pihak polis begitu memahami ‘corak’ yang wujud itu dan ia memerlukan perhatian serius daripada semua pihak.

Ia termasuk katanya, bantuan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) bagi membantu polis mengesan data-data termasuk transaksi kewangan, jenis bayaran, jumlah transaksi atau sumber dana.

“Peringkat pasukan polis radar yang kita kesan, dengan semua data yang saya sebutkan tadi. Ya, ini memang memerlukan perhatian berat,

“Bahkan kita akan semak balik. Apakah wujud kelulusan-kelulusan baharu atau lesen-lesen baharu ataupun wujud atau tidak naungan-naungan ini yang membabitkan orang politik tertentu,” tegasnya lagi. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply