Home Pertahanan dan Keselamatan Aset TLDM kian berusia, ancaman terhadap kedaulatan semakin mencabar

Aset TLDM kian berusia, ancaman terhadap kedaulatan semakin mencabar

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 11 JUN – Setiap tahun tempo operasi aset-aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dilaporkan seringkali mencapai tahap yang membanggakan.

Namun begitu, disebalik kejayaan tersebut, masih terdapat perkara yang perlu diatasi.

TLDM melalui Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Pemerintahan Armada Barat (MPA Barat) baru-baru ini menyatakan pengurusan aset berusia adalah cabaran utama yang dihadapi oleh angkatan laut negara.

“Tidak dinafikan keupayaan kapal-kapal TLDM mengekalkan tempo pengoperasiannya adalah satu pencapaian yang harus dibanggakan,

“Namun, pengurusan kapal-kapal yang semakin usang ini memerlukan sumber yang besar untuk memenuhi keperluan operasi dan latihan yang semakin meningkat selain kos selenggaraan yang tinggi,

“Dengan landskap keselamatan serantau yang tidak menentu, cabaran dan tanggungjawab yang semakin besar ini hanya boleh dihadapi dengan kehadiran aset-aset baharu yang canggih dan terkini,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Perkara tersebut disuarakan selepas Armada Barat TLDM selesai melaksanakan Operational Sea Training Exercise (OSTEX) West Siri 2 Tahun 2023 yang dilaksanakan mulai 29 Mei hingga 7 Jun 2023.

OSTEX West bertujuan pertingkatkan tahap kesiagaan warga TLDM dan peraga kehadiran di Selat Melaka.

Latihan ini melibatkan 9 kapal dan sebuah kapal selam milik lembayung pertahanan maritim negara. Antaranya,  KD MAHAWANGSA, KD LEKIU, KD TERENGGANU, KD SRI INDERA SAKTI, KD JEBAT, KD LAKSAMANA HANG NADIM, KD MAHAMIRU, KD LEKIR dan KTD PENYU.

Selain daripada itu, ia turut melibatkan aset sokongan TLDM serta jet pejuang F/A-18 Hornet milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Pelbagai siri latihan dilaksanakan dengan memfokuskan terhadap peningkatan kompetensi dari aspek people, platform, process (3P) dan menilai keupayaan Armada Barat dalam melaksanakan peperangan maritim,

“Keupayaan peperangan empat dimensi TLDM telah diuji melalui pelaksanaan latihan,” kata kenyataan itu.

Tambahnya, OSTEX West 2/2023 merupakan antara aspek yang dipergiatkan oleh TLDM dalam meningkatkan kesiagaan warganya dan juga mempamerkan kehadiran angkatan laut itu di Selat Melaka.

Keupayaan kombatan yang diperlukan oleh TLDM bukanlah diukur pada meriam semata-mata.

“Walau bagaimanapun, cabaran terbesar yang dihadapi sepanjang eksesais berlangsung tentunya adalah mengoperasikan aset-aset yang semakin berusia,” kata kenyataan itu.

Perkara yang disuarakan oleh pihak Armada Barat sekali lagi mengingatkan kita akan cabaran yang dihadapi oleh TLDM semasa Eksesais Kerismas 27/2022 pada Oktober tahun lalu.

Latihan dalaman terbesar yang diadakan oleh TLDM secara tahunan itu telah dibelenggu dengan aset rosak dan juga usang.

Kesan kelewatan LCS yang kemudiannya memberikan kesan kepada pelaksanaan Transformasi 15-to-5 TLDM sudah mula kelihatan. Malah, ia turut menyebabkan TLDM berhadapan dengan isu jurang aset kombatan.

Walaupun tempo operasi yang membanggakan, keperluan TLDM untuk memiliki aset baharu dan canggih semakin mustahak.

Walaupun projek LCS disambung, hakikat ianya sudah terlewat berbanding jadual sudah tidak boleh dinafikan. Walaupun LCS pertama siap pada tahun hadapan, kapal tersebut hanya akan mula beroperasi pada tahun 2026 sekiranya berjaya melepasi beberapa fasa ujian.

Sementara itu, Kapal Misi Pesisir Batch 2 (LMS Batch 2) masih lagi menunggu kata putus. Walaupun pada mulanya terdapat khabar angin menyatakan kapal dari Turkiye telah menjadi pilihan, pameran LIMA 2023 menunjukkan keadaan sebaliknya.

Selain tiada sebarang kontrak dimeterai, persaingan LMS Batch 2 mula menjadi sengit apabila pelbagai syarikat pempamer mula menawarkan pakej tersendiri bagi memenuhi keperluan TLDM.

Pun begitu, jumlah yang diluluskan oleh kerajaan pada ketika ini adalah 3 dan TLDM telah menggariskan kapal baharu ini mempunyai keupayaan kombatan. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply