Home Semasa PRN: BERSIH gesa SPR segera buka permohonan undi pos

PRN: BERSIH gesa SPR segera buka permohonan undi pos

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 1 Jun – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menyeru Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk segera membuka permohonan pengundi pos menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di 6 negeri.

Jawatankuasa Pemandu BERSIH berkata, SPR tidak perlu menunggu 6 negeri itu membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk membuka permohonan undi pos, khasnya bagi warganegara Malaysia di luar negara.

“SPR tidak semestinya perlu menunggu sehingga semua negeri-negeri tersebut membubarkan DUN masing-masing sebelum membuka permohonan kepada pengundi pos terutamanya pengundi kategori 1B iaitu warganegara Malaysia yang berada di luar negara seperti pelajar dan mereka yang bekerja serta menetap di luar negara untuk memohon menjadi pengundi pos dalam PRN nanti,

“SPR perlu sentiasa ingat menjadi tanggungjawab Perlembagaan untuk mereka memastikan setiap rakyat yang layak mengundi diberikan akses pengundian mencukupi bagi melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai warganegara dalam pilihan raya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
BERSIH menjelaskan, kerajaan perlu mengambil iktibar daripada pilihan raya lalu, di mana jumlah pengundi pos kategori 1B meningkat daripada 7,979 pada PRU14 ke 48,109 pada PRU15, peningkatan sebanyak 600 peratus.

Kumpulan itu juga menggesa kemudahan pengundian pos diperluaskan kepada kakitangan kesihatan dan keselamatan yang bekerja di sektor swasta, seperti hospital swasta, yang akan bertugas pada hari pengundian.

“Kejadian seperti petugas pilihan raya seperti kerani pengundian dan ketua tempat mengundi tidak menjadi pengundi pos juga tidak seharusnya berulang kembali,

“Pada PRU15, pasukan Pemantau Bersih telah menerima banyak aduan kerani dan ketua tempat mengundi tidak didaftarkan menjadi pengundi pos walaupun mereka telah memohon dan akhirnya mereka dinafikan hak untuk mengundi dalam pilihan rayakerana terpaksa bertugas,” jelasnya lagi.

Sebanyak 6 negeri yang akan mengadakan PRN tidak lama lagi iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!