LANGKAWI 25 Mei – Syarikat penyedia perkhidmatan senggaraan dan baik pulih (MRO), Global Turbine Asia Sdn. Bhd. (GTA) memeterai kerjasama dengan Europrop International (EPI) bagi penyelenggaraan enjin TP400-D6 yang digunakan pesawat Airbus A400M.
Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengoperasikan empat buah pesawat jenis tersebut.
Menerusi surat perjanjian (LOA) ini, GTA berperanan sebagai syarikat untuk mengendalikan penyelenggaraan bagi EPI iaitu selaku pengeluar peralatan asal enjin TP400-D6.
Pengerusi GTA, Datuk Nonee Ashirin Mohd Radzi berkata, kontrak tersebut adalah untuk tempoh kerja selama tiga tahun.
Menurut beliau, kerjasama yang dimeterai itu merupakan satu lonjakan pencapaian besar bagi GTA sebagai sebuah syarikat MRO yang bermula kecil 13 tahun lalu.
“GTA diberi tanggungjawab bagi penyelenggaraan Tahap 1 dan Tahap 2 pada TP400-D6 iaitu tahap tertinggi yang boleh dicapai di luar bengkel pengilang peralatan asal (OEM).
“Kerja-kerja tersebut dijalankan di pangkalan TUDM yang mana GTA akan menempatkan petugasnya di sana.
“Ini adalah bukti potensi Malaysia dalam industri aeroangkasa kerana ia adalah perjanjian yang pertama bagi enjin TP400-D6 di luar Eropah,” ujarnya.
Jelas Nonee Ashirin lagi, kemajuan industri MRO tempatan seperti yang dicapai oleh GTA juga bakal melahirkan tenaga kerja mahir dalam kalangan anak-anak tempatan.
Ini kerana katanya, industri MRO negara sangat berdaya saing dan memerlukan lebih ramai anak-anak tempatan yang berkemahiran tinggi.
“Pencapaian GTA misalnya adalah daripada peringkat rendah dan kini beralih kepada bidang senggaraan berteknologi tinggi.
“Kemajuan yang kita capai ini bukan mudah dan bukan juga sekelip mata, ia juga sebagai persediaan untuk melangkah ke fasa kemajuan seterusnya pada masa hadapan,” ujarnya.
Semasa LIMA 2019, GTA telah memeterai perjanjian lesen kelulusan organisasi penyenggaraan (AMO) dengan syarikat pengeluar enjin Eropah, Europrop International GmbH (EPI).
Perjanjian tersebut telah membuka jalan kepada syarikat GTA untuk membida aktiviti penyenggaraan enjin TP400-D6 yang digunakan pesawat Airbus A400M.
GTA yang ditubuhkan sejak 2010 merupakan syarikat MRO untuk menyelenggara enjin pesawat ketenteraan dan sivil di rantau Asia Pasifik.
la juga merupakan usaha sama dengan firma Safran Helicopter Engines (Safran) yang berpengkalan di Perancis.
Sepanjang tempoh tersebut, GTA diberi tanggungjawab untuk kerja-kerja senggaraan enjin helikopter yang digunakan Angkatan Tentera Malaysia seperti EC725, AS555N selain polis dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia. – airtimes.my