LANGKAWI, 24 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini telah menyempurnakan pelancaran 1st Homegrown Combat Management System (1st Homegrown CMS) sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA ’23).
CMS merupakan buatan tempatan pertama yang direkabentuk, dibangunkan, diuji dan ditauliahkan sepenuhnya oleh jurutera serta juruteknik tempatan dari syarikat System Consultancy Services Sdn Bhd.
Menurut Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), program penyelidikan dan pembangunan 1st Homegrown CMS ini bermula sejak 2019.
“Program ini bermula apabila syarikat berkenaan telah diberi peluang untuk membangunkan sistem CMS secara Proof of Concept (POC) di atas KD GEMPITA Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang merupakan salah sebuah kapal dari kelas SPICA-M Fast Attack Craft Missile (FAC-M),
“Sistem asal CMS KD GEMPITA, CMS 9LV keluaran SAAB, Sweden telah dikeluarkan atas faktor usang di samping KD berkenaan telah dilengkapi dengam sistem kawalan persenjataan hampir 10 tahun,” jelas Markas ATM.
Tambahnya, versi pertama CMS (Homegrown CMS Version 1.0) ini telah dibekalkan kepada TLDM pada Oktober 2021 selepas berjaya melaksanakan beberapa siri tembakan di laut.
“Pembangunan keupayaan sistem Homegrown CMS Version 1.0 telah dipertingkatkan lagi bagi menghasilkan Versi 2.0 bagi memenuhi keperluan operasi semasa TLDM,
“Pembangunan 1st Homegrown CMS ini adalah bertepatan dengan aspirasi dan hasrat Kementerian Pertahanan untuk mengubah sektor pertahanan serta keselamatan menjadi salah satu ekonomi baharu kepada negara,
“Di samping itu, ianya juga menjadi komponen penting di dalam sistem pertahanan serta keselamatan negara,” jelasnya lagi.
Kewujudan Kertas Putih Pertahanan dan pelancaran Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara juga akan membantu pemain industri pertahanan tempatan untuk lebih berani menghasilkan produk yang berkualiti setaraf dengan pengeluar peralatan ketenteraan dari luar negara seterusnya merealisasikan keupayaan berdikari untuk Malaysia.- airtimes.my