LANGKAWI, 21 MEI – Kapal Diraja (KD) Tunku Abdul Rahman Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang merupakan kapal selam pertama negara bakal dipamerkan di segmen maritim pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA’23), Selasa ini.
Kapal selam Scorpene yang merupakan kapal selam jenis tempur konvensional dan berkemampuan membawa 10 torpedo serta 30 pemusnah periuk api itu bakal menemui pengunjung di Resort World Langkawi.
KD Tunku Abdul Rahman ianya mampu beroperasi mengawasi perairan Malaysia pada kedalaman 100 hingga 200 meter dengan kelajuan 20 knot serta dilengkapi dengan sistem navigasi tercanggih dan sistem tempur yang dikenali sebagai SUBTICS.
Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjelaskan, 17 kapal TLDM lain yang turut bersama-sama mengambil bahagian di segmen maritim LIMA’ 23 pada kali ini adalah KD Mahawangsa, KD Lekiu, KD Perak, KD Gagah Samudera dan KD Keris.
“Selain itu, KD Mahamiru, KD Todak, KD Teguh Samudera, KD Selangor, KD Sri Indera Sakti, KD Laksamana Hang Nadim, KD Terengganu, KD Lekir, KD Rencong, KD Serang, KD Perkasa dan MV Mega Bakti turut serta dalam segmen ini,” jelas Markas ATM menerusi hantaran di Facebook rasminya, hari ini.
Kontinjen TLDM kali ini merupakan kontinjen terbesar mewakili Malaysia yang keseluruhannya membariskan 23 buah kapal pelbagai kelas.
Selain TLDM, agensi lain dalam negara yang turut terlibat adalah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) iaitu KM Bagan Datuk, KM Pekan, KM Arau, KM Marlin dan KM Perwira.
Manakala, dari Jabatan Laut Negara ialah MV Discovery dan Polaris serta Pasukan Polis Marin (PT2).
Segmen maritim LIMA’ 23 ini juga turut melibatkan 14 buah kapal dari 12 negara luar iaitu Amerika Syarikat (USS Mobile), China (CNS Zhanjiang), India (INS Karavatti), Italy (ITS Francesco Morosini) dan Japan (JS Kumano).
“Selain itu, Pakistan (PNS Shah Jahan), South Korea (ROKS No Jeok Bong), Singapore (RSS Steadfast), Brunei (KDB Darulehsan), Indonesia (KRI Golok, KRI Halasan, KRI Kerambit), Thailand (HTMS Prachuap Khiri Khan) dan Vietnam (VPNS 20) juga turut serta,” ujar Markas ATM.
Tambah TLDM, Kawad Senyap (TLDM) dan demonstrasi bot kecil (Pasukan Khas) akan turut dipersembahkan di jeti kepada pelawat yang hadir.
Manakala, helikopter milik TLDM iaitu Super Lyynx turut akan dipamerkan secara statik di sana.
LIMA’23 kembali semula pada tahun ini setelah ditangguhkan selama 4 tahun berikutan penularan wabak pandemik COVID-19 di seluruh negara.
LIMA’ 23 yang bertemakan Titik Perhubungan Perdagangan Maritim dan Aeroangkasa Asia akan berlangsung pada 23 hingga 27 Mei 2023. Ia akan membuka tirai bagi edisi ke-16 pada Selasa ini.
Segmen maritim LIMA’ 23 akan dibuka kepada pelawat awam bermula 23 Mei hingga 27 Mei secara percuma. -airtimes.my