Home Pertahanan dan Keselamatan Hotel terkemuka diserbu, Imigresen berkas 13 PATI di Melaka

Hotel terkemuka diserbu, Imigresen berkas 13 PATI di Melaka

by Nurulhuda

MELAKA, 18 Mei – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Melaka telah menyerbu sebuah hotel di bandar ini yang disyaki menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Operasi Sapu (Op Sapu), semalam.

Pengarah Imigresen Negeri Melaka, Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, 13 pekerja asing hotel itu bersama 7 lagi PATI antara ditahan dalam beberapa siri serbuan berasingan bermula 9 pagi hingga 11 malam.

“Seramai 70 warga asing telah diperiksa dan seramai 20 orang PATI telah ditahan melibatkan 17 warga Indonesia, 2 warga Myanmar dan seorang warga Bangladesh yang berumur 20 hingga 48 tahun,

“Antara lokasi yang turut menjadi sasaran ketika serbuan adalah medan selera, pusat mencuci kenderaan mewah dan penempatan pekerja asing,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut Anirwan berkata, hasil pemeriksaan menyeluruh ke atas hotel terkemuka itu, pihaknya mendapati mereka menggunakan khidmat ejen pekerja asing yang membekalkan pekerja untuk pengemasan, pembersihan dan juga pelayan restoran.

“Seramai 41 pekerja warga asing di hotel terbabit telah diperiksa dan 13 orang yang ditahan itu disyaki melakukan kesalahan tinggal lebih masa dan juga melanggar syarat pas atau permit kerja yang telah dikeluarkan,

“Hasil pemeriksaan juga mendapati pihak hotel menggunakan khidmat pekerja terbabit kira-kira 5 bulan dan ketika serbuan itu juga, ada yang cuba menyembunyikan diri selain menyamar sebagai pekerja tempatan,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, pada operasi di lain tempat, terdapat warga asing yang bertindak agresif dan cuba melarikan diri semasa anggotanya melakukan serbuan tanpa memikirkan keselamatan diri.

Katanya antara kesalahan lain yang dikenal pasti dalam serbuan tersebut adalah masuk dan tinggal di Malaysia secara haram dan tiada sebarang dokumen pengenalan diri serta lain-lain kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Sebanyak 9 borang saman kepada saksi turut dikeluarkan kepada majikan yang bertanggungjawab untuk membantu siasatan dan tindakan selanjutnya,” tambahnya lagi. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!