Home Semasa Cuaca panas: Pembenihan awan di 7 kawasan empangan – TPM

Cuaca panas: Pembenihan awan di 7 kawasan empangan – TPM

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 16 Mei – Pembenihan awan akan dilakukan di 7 kawasan empangan yang dijangka mengalami penyusutan paras air berikutan keadaan cuaca panas melanda negara ketika ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan, meskipun arahan segera untuk melaksanakan proses itu sudah dikeluarkan, ia bergantung kepada beberapa faktor termasuk awan, angin dan cuaca.

Menurutnya, 7 kawasan yang dikenalpasti itu adalah Sungai Muda, Sungai Kedah, Sungai Melaka, Sungai Kelantan, Sungai Klang, Sungai Bernam dan Sungai Similajau di Sarawak.

“Beberapa keputusan dan pandangan soal pembenihan awan dilakukan dengan segera. Kerjasama antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) di beberapa kawasan empangan air dan kita menumpukan kepada tujuh kawasan yang dijangka paras air akan menurun dan ini akan menyebabkan bekalan air terjejas,

“Dan saya petang ini akan terus pergi ke Sungai Muda dan Sungai Kedah untuk melihat sendiri keadaan di sana dan mengambil tindakan segera iaitu dari segi pembenihan hujan,” katanya seperti dilapor Astro Awani.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat pada Selasa.

Dalam masa yang sama, beliau turut memaklumkan kerajaan bersedia melaksanakan darurat berikutan cuaca panas dialami negara pada masa ini namun setakat ini pelaksanaan darurat belum diputuskan.

“Belum lagi (laksana darurat), tetapi kita sudah sedia. Kita sedang pantau (cuaca) 24 jam. Kalau darurat (dilaksanakan), kita akan buat pengumuman,” katanya lagi.

Terdahulu, MetMalaysia mengeluarkan amaran cuaca panas tahap satu (berjaga-jaga) bagi lapan daerah di Semenanjung Malaysia.

Ia membabitkan Pekan, Bera dan Rompin di Pahang; Segamat dan Muar di Johor; Pasir Mas dan Kuala Krai di Kelantan serta Padang Terap di Kedah. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!