IPOH, 16 Mei – Seorang lelaki ditahan semalam selepas rakaman video berkelakuan aib dan mengeluarkan perkataan kesat tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, tangkapan dibuat susulan laporan polis yang diterima mengenai kejadian yang berlaku di sebuah restoran di Falim, pada 14 Mei lalu.
Menurutnya, suspek yang merupakan warga tempatan berusia 42 tahun itu berjaya ditahan kira-kira jam 10.30 malam Isnin di Ampang Baru,
“Ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis ganja. Pihak polis sedang melengkapkan siasatan kes ini dan akan merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk pertuduhan,
“Kes disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 iaitu berkelakuan aib dan dengan tertangkapnya suspek itu, maka kes telah pun diselesaikan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Yahaya menjelaskan, dengan tertangkapnya suspek, kes tersebut dianggap selesai dan orang ramai dinasihat tidak membuat sebarang spekulasi mengenai video itu sehingga menjejaskan siasatan dan menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Sejak semalam, video yang berdurasi satu minit 18 saat itu tular dengan memaparkan seorang lelaki dipercayai penghantar makanan sebuah syarikat kurier menghambur kata-kata kesat dan berbaur perkauman kepada seorang kakitangan restoran. -airtimes.my