Home Pertahanan dan Keselamatan Ops Redback: Malaysia, Australia kongsi kepakaran tangani isu keselamatan maritim

Ops Redback: Malaysia, Australia kongsi kepakaran tangani isu keselamatan maritim

by Muaz Rizqi

TANJUNG SEDILI, 8 Mei – Kolaborasi dan kerjasama antara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Australian Border Force (ABF) menerusi Operasi REDBACK diteruskan untuk siri ke – 18.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan APMM, Laksamana Muda Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, bengkel yang disertai seramai 25 orang pegawai penguat kuasa dari pelbagai agensi tempatan berkenaan dilaksanakan bermula pada hari ini sehingga 10 Mei 2023.

Menurutnya, bengkel ini bertujuan memperkasakan anggota penguat kuasa tempatan seperti APMM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Laut Malaysia dan Jabatan Perikanan Malaysia melalui teoritikal, praktikal serta taktikal dalam menangani isu-isu jenayah.

“Pihak ABF akan berkongsi kepakaran mereka dalam pelbagai bidang keselamatan khususnya dalam pelaksanaan risikan dan operasi bagi kegiatan jenayah rentas sempadan,” jelasnya dalam kenyataan pada Isnin.

Abdul Rashid menjelaskan, Op Redback merupakan kerjasama 2 buah negara yang telah dilaksanakan sejak 10 tahun lalu hasil daripada perjanjian yang telah dimeterai antara APMM dan ABF.

“Kerjasama itu bagi membanteras dan mengekang aktiviti jenayah di laut khususnya aktiviti jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan manusia, dadah, barang-barang kawalan, pemerdagangan orang serta pencerobohan nelayan asing,” ujar Aminuddin.

Turut hadir sama pada Majlis Perasmian Op Redback XVIII Pengarah APMM Negeri Johor, Laksamana Nurul Hizam Zakaria dan Kaunselor ABF Supretendant John Flaming.

Beliau berkata, pihak APMM bersama ABF turut melaksanakan community engagement dalam memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya terlibat dengan aktiviti yang menyalahi undang-undang.

“Program jaringan komuniti itu mengukuhkan lagi hubungan dengan komuniti maritim setempat dan seterusnya menerapkan peranan komuniti selaku mata serta telinga kepada penguat kuasa dalam membanteras serta mengekang aktiviti jenayah di laut,” jelasnya lagi.

Dalam masa yang sama, beliau turut mengingatkan masyarakat setempat khususnya komuniti maritim agar tidak terlibat dengan sendiket jenayah dengan menjadi ejen-ejen sindiket seperti tonto, `spotters’, `transporters’ dan sebagainya.

Tegasnya, walaupun bayaran yang diberikan agak lumayan, namun masyarakat perlu mengetahui dan menyedari hukuman berat yang akan dikenakan kepada individu yang melakukan jenayah di laut sekiranya ditahan dan dihadapkan ke mahkamah.

“Sempena program bersama komuniti, APMM dan ABF turut mengedarkan barangan keperluan seperti jaket keselamatan serta bahan-bahan promosi lain kepada penerima,” ujarnya lagi. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!