[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=fIi6GH9Lvjo[/embedyt]
LUMUT, 27 Apr – Setelah 89 tahun menongkah pelbagai liku-liku cabaran dan menempa kejayaan, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terus cekal mengorak langkah serta mengekalkan iltizam untuk terus berkorban demi mempertahankan perairan negara.
Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob berkata, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan seiring dengan hasrat menganjak TLDM daripada sebuah angkatan brown water navy menjadi blue water navy.
Sehubungan itu, beliau menjelaskan, perolehan Littoral Mission Ship (LMS) Batch Kedua adalah salah satu usaha TLDM dalam mengantikan aset-aset usang yang sedia bagi meningkatkan keupayaan pasukan keselamatan itu.
“Kita mengharapkan pada tahun ini ia (LMS Batch 2) dapat dimuktamadkan perolehannya, sebab sekarang ini kita masih menunggu keputusan samaada TLDM berurusan secara kerajaan dengan kerajaan (G2G) atau berurusan terus dengan industri yang akan membekalkan kapal tersebut,
“Perkara ini masih dibincangkan di peringkat Kementerian Pertahanan (MINDEF). TLDM secara am telah bersedia dengan spesifikasi yang diperlukan untuk LMS Batch Kedua ini,
“Kami telah berbincang dan menetapkan apa keperluan serta mengenalpasti beberapa model kapal yang berpontensi untuk menjadi LMS Batch 2 ini,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Sambutan Hari TLDM ke-89 Tahun 2023 di Pangkalan TLDM Lumut, hari ini.
Abdul Rahman turut menjelaskan, kapal pertama LMS Batch 2 itu bakal diterima pada tahun 2027 dan kemudiannya perolehan secara berperingkat.
“Kapal pertama akan mula diterima dan selepas itu mungkin dalam jangka masa 6 hingga 9 bulan selepas itu kita akan terima LMS Batch 2 secara berperingkat, bergantung kepada proses pembinaan,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan telah menyatakan harapan agar Dewan Rakyat dan Dewan Negara akan meluluskan perolehan 3 buah LMS Batch 2 ini.
Beliau menjelaskan, LMS Batch 2 ini direka khas untuk mempunyai kelajuan yang tinggi bagi membolehkan kapal tersebut digunakan dalam aturgerak cepat (rapid deployment) bagi tujuan pemintasan. -airtimes.my