Home Pertahanan dan Keselamatan Kementerian Pertahanan siasat kematian anggota tentera di Hutan Simpan Belum

Kementerian Pertahanan siasat kematian anggota tentera di Hutan Simpan Belum

by Bernama

LUMUT, 14 Apr – Kementerian Pertahanan akan melakukan siasatan dalaman secara terperinci insiden kematian anggota tentera yang ditemukan maut di Hutan Simpan Belum dekat Gerik, Rabu lepas.

Timbalan Menterinya, Adly Zahari berkata kementerian akan memaklumkan hasil siasatan kematian Koperal Mohammad Nasri Mohd Nasib, 33, daripada Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja Kem Seri Bentong, Pahang itu, kepada umum.

“Kita akan buat siasatan di peringkat dalaman kerana saya yakin ahli keluarga (anggota tentera tersebut) mahu tahu kenapa perkara itu berlaku.

“Kita akan maklumkan secepat mungkin selepas siasatan selesai supaya kalau ada kelemahan (semasa latihan atau operasi) kita akan cuba tambah baik,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menziarahi seorang veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laskar Kelas Dua Md Nawawi Md Kassim, 67, yang mengalami kecederaan otak akibat kemalangan jalan raya tahun lepas.

Semalam, Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri memaklumkan hasil bedah siasat dilakukan Hospital Permaisuri Bainun mendapati kematian Mohammad Nasri berpunca daripada kecederaan kepala dipercayai akibat terjatuh.

Mayatnya dijumpai pada Rabu oleh pasukan operasi mencari dan menyelamat berikutan laporan kehilangannya di pedalaman Hutan Simpan Belum, dekat Gerik, sejak 7 April lepas semasa operasi penugasan di kawasan itu.

Jenazah Mohammad Nasri selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Pulau Mertajam, Penaga di Pulau Pinang, petang semalam.

Allahyarham meninggalkan isteri Nurhayatul Husna Abdul Muttalib, 30, serta sepasang anak Muhammad Aakif Rizqi, 4, dan Nur Afifah Raisha, 2. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!