Home Pertahanan dan Keselamatan Tiada kuota kaum dalam pengambilan anggota ATM

Tiada kuota kaum dalam pengambilan anggota ATM

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 13 Apr – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan sekali lagi menegaskan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak pernah menetapkan sebarang kuota mengikut kaum bagi pengambilan anggotanya.

Beliau berkata, proses pengambilan bagi ketiga-tiga perkhidmatan akan dibuat 2 kali setahun dengan melibatkan pengambilan seramai lebih kurang 6,000 hingga 7,000 anggota.

“Kami tidak mengenakan kuota mengikut kaum. Ia terbuka kepada mana-mana kaum. Peratusan anggota tentera dari kaum bukan bumiputera amat rendah sekali,

“Ia berpandukan beberapa faktor, bukan hanya kerana plan persaraaan sahaja. Boleh jadi, bagi mereka (yang bukan bumiputera) lebih nampak ada kerjaya-kerjaya lain seperti perniagaan yang memberikan dan menjanjikan pulangan yang lumayan,

“Jadi ia bukan disebabkan kerana tidak ada pelan persaraan kepada veteran-veteran atau sebagainya,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri 2023 di Wisma Pertahanan, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, ATM mempunyai banyak perancangan bagi mempersiap anggotanya untuk persaraan, antaranya pelbagai kursus peralihan yang dianjurkan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT).

Selain itu, katanya, pelbagai perancangan dibuat untuk menarik golongan bukan bumiputera menyertai ATM antaranya membuka permohonan secara dalam talian dan mengadakan ‘road show’ di seluruh negara,

“Nampaknya ia amat tidak menggalakkan dan masih rendah. Oleh itu, kami tidak mahu perkara ini berterusan dan berharap kerjaya sebagai anggota tentera akan lebih menarik minat semua kaum,” jelasnya lagi.

Terdahulu, ATM menerima sumbangan bernilai RM2.16 juta sempena Aidilfitri ini bagi menghargai perjuangan dan jasa anggota tentera kepada negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad membuka kotak sumbangan Hari Raya Aidilfitri sempena gimik Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada ATM di Wisma Pertahanan hari ini.

Kementerian Pertahanan (MINDEF) berkata, sebanyak 79 syarikat, badan korporat dan individu menyumbang kepada ATM, sekali gus membolehkan pihaknya menyediakan 15,000 beg barangan yang akan diserahkan kepada warganya yang bertugas ketika sambutan Aidilfitri.

“Majlis yang ringkas tetapi amat besar maknanya kepada warga ATM iaitu majlis yang dianjukan setiap tahun oleh ATM untuk kita (MINDEF) menerima sumbangan daripada penyumbang-penyumbang yang ikhlas menyumbang kepada warga tentera,

“Mereka tidak bersama dengan keluarga, ada di perbatasan negara, ada yang duduk di tengah laut, ada yang jauh di perantauan seperti pasukan pengaman Bangsa-Bangsa Berastu di Lubnan,

“Jadi ini merupakan tugas hakiki angkatan tentera. Mereka raya tapi tidak bersama keluarga, tak bersama anak isteri, mak ayah dan lain-lain,

Sebagai tanda menghargai jasa mereka yang sedang bertugas, sama ada di daratan dan perairan merasai suasana hari raya di kawasan tempat mereka bertugas,” jelasnya.

Turut hadir Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang; Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!