Home Pertahanan dan Keselamatan Penyeludup lari tinggalkan 4.8 juta batang rokok kretek

Penyeludup lari tinggalkan 4.8 juta batang rokok kretek

by Muaz Rizqi

KUALA LINGGI, 13 Apr – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah berjaya menumpaskan cubaan seludup 4.8 juta batang rokok kretek pelbagai jenama di perairan muara Tanjung Gabang, Selangor kelmarin.

Pemangku Ketua Pengarah APMM, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, hasil risikan dan bantuan Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA) mendapati sebuah bot pancung bergerak dalam keadaan mencurigakan di laluan Traffic Separation Scheme (TSS) ke Tanjung Gabang pada pukul 10.20 malam.

“Menyedari kehadiran pasukan APMM, suspek dilaporkan bertindak memecut laju untuk meloloskan diri dan berlaku kejar-mengejar selama hampir 30 minit sehingga bot pancung berkenaan memasuki kawasan paya bakau,

“Setelah menghampiri bot berkenaan pada kedudukan 0.05 batu nautika barat laut muara Tanjung Gabang, Selangor, pihak Maritim Malaysia mendapati tekong dan awak-awak telah meninggalkan bot dan berjaya melarikan diri,” jelasnya dalam kenyataan.

Saiful Lizan berkata, pemeriksaan ke atas bot pancung tanpa nombor pendaftaran yang berwarna kelabu telah membawa kepada penemuan rokok kretek pelbagai jenama.

“Nilai keseluruhan rampasan rokok kretek termasuk bot pancung beserta 6 enjin 200 kuasa kuda itu berjumlah sebanyak RM3.53 juta,

“Kesemua rokok kretek berkenaan disyaki diseludup masuk dari negara Indonesia untuk dijual secara haram dalam negara ini dan kes tersebut disiasat di bawah Akta Kastam 1967, menyeludup masuk rokok ke Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan / Duti Eksais (Cukai).” Ujarnya lagi.

Beliau turut menegaskan bahawa pihak APMM akan memperketatkan lagi kawalan di perairan negara dalam usaha mengekang aktiviti jenayah di laut seperti penyeludupan kontraband dan barangan kawalan, penyeludupan serta kemasukan PATI ke dalam negara ini.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan sebarang ancaman jenayah yang dilakukan di kawasan maritim negara. Malah kita mengoptimumkan pengoperasian dengan melakukan rondaan di kawasan hotspot khususnya pada musim perayaan Aidilfitri,

“Orang ramai diseru agar menyampaikan maklumat bagi memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan dan melaporkan segera maklumat ke talian MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam dan Pusat Operasi Maritim Negeri yang berhampiran,” tambahnya lagi. -airtimes.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!