Dalam tempoh lima tahun lagi, tentera laut laut negara jiran Singapura akan menamatkan pengoperasian enam korvet peluru berpandu (MCV) kelas Victory.
Kesemua kapal yang sejak 34 tahun lalu menjadi tulang belakang armada republik tersebut akan dilucutkan tauliah apabila Tentera Laut Singapura (RSN) menerima kapal perang baharu.
Ini berikutan Kementerian Pertahanan Singapura (MINDEF) minggu lalu telah menandatangani kontrak dengan syarikat tempatan, Singapore Technologies Engineering Ltd (ST Engineering) bagi pembinaan enam kapal tempur pelbagai peranan (MRCV).
MRCV merupakan konsep kapal perang moden bersaiz frigat yang akan beroperasi secara digital dan disifatkan sebagai kapal tempur masa hadapan.
Semasa mula dioperasikan pada 1989, kapal-kapal MCV dilihat sebagai kapal perang kompak dengan sistem persenjataan yang ampuh.
Projek pembinaan kapal Victory merupakan kerjasama teknologi firma Lurseen Werft, Jerman dengan kapal pertama dibina di sana manakala lima buah dibina di Singapura.
Bayangkan, enam buah misil korvet ini cukup untuk menggerunkan bakal musuh yang belayar di Selat Melaka atau sekitar Selat Singapura hingga ke perairan Pulau Batu Putih.
Kapal-kapal ini secara fizikalnya masih kelihatan baik apatah lagi dengan senggaraan yang dilakukan oleh pihak RSN.
Sepertimana diketahui umum, Singapura memperuntukkan belanjawan yang besar untuk pembangunan ketenteraan termasuk senggaraan aset-aset sedia ada.
Justeru, ini membolehkan tentera negara itu melakukan rutin senggaraan apatah lagi ia menetapkan aspek kesiapsiagaan aset-aset pertahanan pada tahap tertinggi.
Dengan isu kekurangan kapal terus menjadi duri dalam daging bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Maritim Malaysia (APMM), justeru perolehan kapal terpakai tidak salah jika dipertimbangkan.
Mungkin korvet kelas Victory ini boleh menjadi pilihan sama ada TLDM atau APMM untuk setidak-tidaknya menjadi pengimbang pada aset sedia ada.
APMM pada tahun 2015 misalnya menerima dua kapal ronda terpakai kelas Bay daripada kerajaan Australia yang dinamakan KM Perwira dan KM Satria.
Sebagai negara berjiran yang mempunyai hubungan diplomatik, sosial dan ekonomi yang baik, rasanya bukan satu isu besar sekiranya kerajaan serius untuk mendapatkan kapal perang terpakai bekas negara jiran itu.
Memandangkan kedua-duanya berkongsi sempadan maritim yang sama khususnya di Selat Melaka, maka penambahan aset pada TLDM dan APMM turut akan menyumbang pada keselamatan bersama.
Tambahan pula, Malaysia dan Singapura adalah sebahagian daripada negara yang menyertai Pengaturan Pertahanan Lima Negara (FPDA).
Perjanjian pertahanan ini merupakan pakatan ketenteraan tertua selepas Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di mana FPDA ditubuhkan sewaktu kemuncak Perang Dingin dalam suasana dan landskap keselamatan yang tegang.
Bagaimana pun, perkara utama ialah kita tidak pasti apakah ada polisi atau dasar untuk tidak mendapatkan aset atau kelengkapan pertahanan dari negara seberang tambak.
Perolehan kapal terpakai boleh dipertimbangkan kerajaan sebagai langkah sementara sekiranya dirasakan perlu untuk mengatasi isu kekurangan aset maritim.
Kapal terpakai yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun misalnya masih dikategorikan sebagai baik berdasarkan penilaian fizikal serta bentuk penugasan.
Sesebuah kapal perang atau bot peronda bagaimana pun perlu melalui proses menaik taraf atau selenggaraan penuh pada beberapa bahagian penting seperti sistem elektronik dan enjin sebelum dioperasikan.
Brunei dan Filipina sebagai contoh memilih kapal perang terpakai sebagai langkah segera untuk menambah kekuatan armada angkatan lautnya.
Tentera Laut Diraja Brunei bulan lalu menerima kapal peronda kelas Fearless, RSN Brave yang ditauliahkan semula sebagai Kapal Diraja Brunei (KDB) As-Siddiq.
Brunei menerima dua kapal terpakai ini dengan kapal kedua, RSS Gallant akan dilakukan dalam sedikit masa lagi yang akan dinamakan sebagai KDB Al-Faruq.
Empat lagi kapal sama diserahkan sebagai kapal rondaan pantai oleh flotila yang baharu ditubuhkan iaitu Maritime Security and Response Vessels (MSRVs).
RSN mempunyai 12 buah kapal peronda kelas Fearless yang ditauliahkan antara tahun 1996 dan 1998 sebelum dilucutkan tauliah apabila diganti lapan kapal misi pesisir kelas Independence.
Memandangkan pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) akan memakan masa panjang iaitu jangkaan kapal pertama siap pada 2027, maka isu kekurangan aset perlu diberikan perhatian.
Jika pun TLDM bakal memperolehi tiga kapal misi pesisir (LMS) baharu, tempoh menunggu untuk disiapkan sekurang-kurangnya lima hingga enam tahun lagi.
Serupa dengan APMM. Dua kapal pesisir pantai (OPV) dijangka siap tahun hadapan diikuti kapal ketiga. Jumlah itu belum mencukupi memandangkan lebih 70 peratus kapal-kapal APMM berusia lebih 30 tahun.